Soerang lelaki maut dalam kemalangan di Jalan Kampung Sungai Karang, Kukup, Pontian kelmarin.

PONTIAN – Tular dalam media sosial seorang pekerja kilang di Singapura maut dipercayai terlelap sebelum melanggar bahagian depan sebuah kereta di Jalan Kampung Sungai Karang, Kukup di sini kelmarin.

Menerusi rakaman papan pemuka sebuah kereta berdurasi 21 saat dalam Facebook memaparkan motosikal mangsa masuk ke laluan bertentangan.

Sebuah kereta di bahagian depan sempat mengelak tetapi motosikal tersebut merempuh kereta kedua di belakang kereta pertama yang tidak sempat mengelak.

Pelanggaran tersebut yang berlaku dalam keadaan hujan renyai mengakibatkan mangsa melambung tinggi.

Menurut hantaran dalam media sosial tersebut, mangsa dipercayai mengalami micro sleep atau terlelap seketika akibat keletihan ketika menunggang motosikal.

Difahamkan, mangsa ketika itu sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Singapura.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, kemalangan berlaku pukul 6.50 petang melibatkan tiga kenderaan.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa motosikal jenis Yamaha ditunggang mangsa, Muhammad Akmal Hakim Ambok Asek berusia 30 tahun datang dari arah Tanjung Bin menghala ke arah Belokok.

“Sementara kereta Perodua Axia dipandu lelaki berusia seorang pengawal keselamatan berumur 59 tahun dan kereta Perodua Bezza dipandu wanita berusia 25 tahun datang dari arah bertentangan.

“Apabila tiba di tempat kejadian motosikal itu yang sedang memotong masuk ke lorong sebelah kanan jalan dan bertembung dengan Perodua Axia lalu terpelanting ke atas bumbung,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut penunggang mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa bekerja kilang dan beralamat di Kampung Dalam di sini.

Katanya, sementara pengawal keselamatan itu mengalami kecederaan ringan manakala wanita terbabit tidak mengalami apa-apa kecederaan.-  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast