KUALA LUMPUR – Seorang pemuda dari Sabah yang cedera parah selepas terjatuh tangga di rumah menjadi antara penerima terawal faedah di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau LINDUNG 24 Jam yang dikuatkuasakan mulai 1 Jun lalu.
PERKESO dalam kenyataan memaklumkan, mangsa, Arnold Nathanael Lister, 24, menerima bantuan komprehensif termasuk pembiayaan penuh rawatan dan prosedur implan tulang belakang selepas semakan mendapati beliau merupakan pencarum aktif skim berkenaan.
Menurut PERKESO, walaupun insiden pada 6 Jun itu berlaku di luar waktu bekerja, status caruman aktif mangsa melayakkannya menerima jaringan keselamatan sosial sepenuhnya bagi mengelakkan beban kewangan yang kritikal.
Selain pembiayaan rawatan, katanya, mangsa turut layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sebagai gantian pendapatan sepanjang tempoh tidak bekerja atas pengesyoran doktor.
Jelasnya, pemuda yang berasal dari Penampang itu juga menerima peralatan pemulihan termasuk kerusi roda khas (commode wheelchair) dan alat pengurusan beg saliran air kencing, selain bakal menikmati rawatan fisioterapi percuma menerusi Program Return To Work (RTW) PERKESO mengikut tahap kesediaannya kelak.
PERKESO berkata, kes yang menimpa Arnold membuktikan keberkesanan skim LINDUNG 24 Jam dalam memberi perlindungan kepada pencarum yang mengalami kemalangan domestik di rumah.
“Sebelum ini, pekerja yang ditimpa kemalangan domestik di rumah sering terperangkap tanpa perlindungan kewangan, namun skim baharu ini bertindak sebagai talian hayat segera bagi menanggung kos rawatan dan menjamin kelangsungan hidup pencarum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 pagi itu, mangsa dilaporkan sedang bersiap untuk ke tempat kerja di kediamannya di Kampung Kaambazan Kolopis, Penampang.
Oleh sebab rumah sedang diubah suai, dia menggunakan tangga untuk ke bilik mandi sebelum tergelincir dan terjatuh.
Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius melibatkan patah serta himpitan pada tulang belakang dan kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
PERKESO turut mengingatkan semua majikan dan pekerja supaya memastikan caruman dipatuhi bagi menjamin perlindungan 24 jam daripada sebarang kemalangan luar jangka. – MalaysiaGazette















