MELAKA – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan meliwat seorang penghuni lelaki di pusat pemulihan dadah (PUSPEN), dua tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Arif Mohd. Hizan, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang lelaki berusia 30 tahun tanpa kerelaannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam tandas asrama PUSPEN Tiang Dua, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 5.30 petang 24 Jun 2024.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 selain syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam Amritpal Singh memohon jaminan rendah kira-kira RM5,000 kerana tertuduh sudah keluar dari PUSPEN dan tidak lagi bekerja selepas berhenti kerja sebelum ini.
Hujahnya, keluarganya juga yang tidak berkemampuan selepas menjelaskan jaminan bagi kes dadah yang dihadapinya semalam dan berjanji tidak akan mengulangi sebarang kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan dicadangkan pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 14 Julai depan untuk sebutan semula kes. – MalaysiGazette
















