Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Ketika kemelut melibatkan institusi adat dan diraja Negeri Sembilan terus menjadi perhatian umum, timbul persoalan mengapa Datuk Seri Rafizi Ramli yang pernah menerima darjah kebesaran tertinggi negeri itu masih belum tampil menyuarakan pandangannya.

Seorang sumber kanan parti PKR berkata, Rafizi yang selama ini dikenali sebagai antara pemimpin paling lantang memperjuangkan reformasi, ketelusan dan keadilan sewajarnya menggunakan pengaruh serta kredibilitinya untuk membantu memberikan pencerahan kepada rakyat mengenai isu yang sedang mencetuskan pelbagai polemik.

Menurutnya, sebagai penerima Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Datuk Seri, Rafizi mempunyai kedudukan moral yang membolehkannya memberikan pandangan secara berhemah demi mempertahankan martabat institusi yang pernah mengurniakan penghormatan tersebut.

“Ini bukan soal politik atau menyebelahi mana-mana pihak. Ini soal memastikan rakyat mendapat kefahaman yang betul mengenai apa yang sedang berlaku serta mengelakkan institusi diraja terus menjadi sasaran pelbagai persepsi dan spekulasi.

“Apabila sebuah institusi yang menjadi tunjang sistem pemerintahan berperlembagaan berdepan polemik, mereka yang mempunyai pengaruh dan dihormati masyarakat tidak sepatutnya hanya menjadi pemerhati,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata, rakyat tidak mengharapkan Rafizi mencampuri urusan istana atau proses yang sedang berlangsung sebaliknya mengharapkan pandangan yang bersifat membina demi memperkukuhkan keyakinan masyarakat terhadap institusi berkenaan.

Menurutnya, jika terdapat kelemahan atau ruang penambahbaikan dalam mana-mana sistem, perkara itu boleh dibincangkan secara matang dan bertanggungjawab tanpa menjejaskan kedudukan institusi diraja.

“Rafizi sering bercakap mengenai reformasi institusi. Jadi inilah masanya untuk menunjukkan reformasi bukan sekadar terhad kepada politik dan pentadbiran kerajaan tetapi juga melibatkan usaha memperkukuhkan institusi yang menjadi sebahagian daripada struktur negara.

“Kalau beliau merasakan tidak wajar mengulas secara langsung perkara yang menyentuh institusi diraja, sekurang-kurangnya beliau boleh mengajak semua pihak menghormati proses yang sedang berjalan dan mengelakkan tindakan yang boleh memburukkan keadaan,” ujarnya.

Sumber itu turut mempersoalkan mengapa ramai tokoh yang lazimnya lantang mengenai isu tadbir urus dan keadilan memilih untuk berdiam diri apabila kontroversi yang timbul melibatkan institusi diraja.

Katanya, dalam situasi sedemikian, sikap membisu hanya akan mengundang lebih banyak persoalan serta membuka ruang kepada pelbagai tafsiran yang tidak semestinya membantu meredakan keadaan.

“Mereka yang benar-benar percaya kepada prinsip keadilan dan reformasi seharusnya tampil memberikan pandangan yang boleh membantu rakyat memahami isu ini dengan lebih baik.

“Lebih penting, mereka juga perlu berani menegur mana-mana pihak yang didakwa bersekongkol dengan tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan atau menjejaskan keharmonian institusi,” jelasnya.

Beliau berkata, pihak yang bersekongkol dengan tindakan yang dianggap mencabar kewibawaan institusi diraja juga tidak sepatutnya terlepas daripada kritikan hanya kerana kedudukan atau pengaruh politik mereka.

“Jika ada kebimbangan untuk mengulas mengenai institusi diraja maka tegurlah mereka yang didakwa menjadi punca kepada kemelut ini. Jangan hanya berdiam diri ketika rakyat sedang mencari jawapan dan penjelasan.

“Institusi diraja bukan milik mana-mana individu atau kelompok politik. Ia adalah institusi yang perlu dipertahankan oleh semua pihak termasuk mereka yang pernah menerima penghormatan dan pengiktirafan daripadanya,” katanya lagi.

Untuk makluman, Rafizi menerima Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Datuk Seri daripada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam istiadat penganugerahan darjah kebesaran negeri itu sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast