Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Mahkamah Tinggi Dagang KL bagi perbicaraan kes saman syarikat barang kemas Global Royalty Trading SAL terhadapnya berhubung kehilangan lebih 40 barang kemas, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 13 APRIL 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor membayar RM67.5 juta kepada Global Royalty Trading SAL berhubung kehilangan 43 unit barang kemas yang didakwa dipinjamkan kepada beliau.

Hakim Datuk Quay Chew Soon mengarahkan isteri bekas Perdana Menteri membayarnya dalam tempoh sebulan bermula hari ini selepas membenarkan tuntutan saman syarikat barang kemas dari Lubnan itu.

Barangan kemas tersebut iaitu kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara diserahkan oleh ejen syarikat kepada Rosmah pada 2018 untuk ditunjukkan kepadanya.

Mahkamah turut memerintahkan Rosmah membayar kos berjumlah RM150,000 iaitu masing-masing RM75,000 kepada plaintif dan pihak ketiga iaitu Ketua Polis Negara dan kerajaan.

Ketika membacakan penghakimannya, Hakim Chew Soon berpuas hati wujud kes prima facie bahawa Rosmah cuai kerana gagal memulangkan 43 barang kemas yang diserahkan kepadanya.

Hakim menjelaskan, Rosmah gagal membuktikan kehilangan barang kemas itu bukan akibat kecuaiannya.

Menurut beliau, Rosmah sendiri mengaku barang kemas itu berada dalam jagaannya selepas dihantar dan disimpan dalam beg berkunci. Ia kemudian dipindahkan dari Seri Perdana ke Pavilion sebelum diserbu pihak polis pada 2018.

“Plaintif tidak memikul beban untuk membuktikan bagaimana barang kemas itu hilang ketika dalam kawalan Rosmah sebaliknya beban terletak di bahu defendan.

“Ini kerana Rosmah mengetahui dan mempunyai kawalan bagaimana barang kemas itu dikendali, dimana ia disimpan, siapa yang mempunyai akses, bagaimana ia dipindahkan dan dijaga dan selanjutnya apa yang berlaku kepadanya.

“Sehubungan itu, percubaan Rosmah untuk memindahkan fokus dengan membuat spekulasi berhubung serbuan pihak polis, tidak dapat dipertahankan.

“Selepas bertahun-tahun prosiding, pemeriksaan dan prosiding pelucuthakan, hanya satu barang kemas berjaya dikenal pasti manakala baki 43 barang kemas masih tidak dapat dikesan.

“Kegagalan defendan memanggil saksi material yang didakwa terlibat secara langsung dalam pengendalian dan pergerakan barang kemas itu turut menjejaskan pembelaannya,” ujarnya.

Hakim selanjutnya berkata, pembelaan Rosmah bahawa beliau tidak memindahkan barang kemas, memantau proses pemindahannya mahupun mengetahui siapa yang memindahkannya, tidak boleh diterima mahkamah.

Hakim turut menolak pembelaan Rosmah bahawa beliau tidak tahu siapa yang mempunyai akses terhadap beg berkenaan atau memeriksanya secara peribadi.

Sementara itu, mahkamah turut menolak tuntutan Rosmah (defendan) untuk indemniti daripada pihak ketiga iaitu kerajaan dan Ketua Polis Negara.

Mahkamah menolak dakwaan beliau bahawa barang kemas yang hilang itu tiada dalam milikannya kerana telah disita ketika serbuan polis yang berkaitan dengan siasatan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada tahun 2018.

Hakim Chew Soon selanjutnya berpendapat, dalam kes saman itu, Rosmah menegaskan barangan kemas itu diserahkan kepadanya secara konsainan dan beliau tidak mempunyai kewajipan untuk membelinya.

Menurut hakim berkenaan, defendan mempertikai nota konsainan tersebut dengan menyatakan ia palsu walhal barang kemas itu telah diserahkan kepadanya.

Ujar beliau, fakta menunjukkan Rosmah gagal memulangkan 43 barang kemas tersebut walhal ia telah diamanahkan kepadanya.

“Setelah penyerahan, pemilikan dan kegagalan pemulangan dibuktikan, beban tidak lagi terletak pada plaintif untuk membuat spekulasi mengenai apa berlaku ketika ia berada dalam jagaan defendan,” kata beliau.

Sebaliknya, ujar hakim berkenaan, beban pembuktian beralih kepada Rosmah untuk membuktikan kehilangan dan kegagalan pemulangan barangan kemas itu bukan berpunca daripada kecuaiannya.

Hakim Chew Soon berkata, keseluruhan pembelaan Rosmah akhirnya bergantung kepada satu dakwaan utama iaitu barang kemas itu telah disita oleh PDRM semasa serbuan yang dijalankan pada tahun 2018.

Namun ujar hakim, keterangan yang dikemukakan menyatakan, hanya satu barang kemas dikenal pasti dalam prosiding pelucuthakan dan dipulangkan kepada plaintif.

“Selain daripada satu barang kemas itu, tiada keterangan yang membuktikan bahawa baki 43 barang kemas tersebut disita oleh PDRM,” ujar beliau.

Pada prosiding itu, peguam Datuk David Gurupatham mewakili syarikat tersebut manakala Rosmah diwakili peguam Rajivan Nambiar. Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin bertindak bagi Ketua Polis Negara (KPN) dan kerajaan.

Pada 29 Mac 2023, Global Royalty menyaman Rosmah dan mendakwa beliau berbohong bahawa 44 barang kemas yang diserahkan kepada beliau, dirampas pihak berkuasa atas kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Syarikat berpangkalan di Beirut itu mendakwa bahawa hanya satu daripada 44 barang kemas terbabit berada dalam simpanan dan kawalan polis, manakala 43 bakinya tidak berada dalam jagaan mereka.

Global Royalty kemudian mendakwa Rosmah meletakkan tanggungjawab kepada Kerajaan Malaysia sedangkan sebenarnya barang kemas itu telah hilang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast