Peserta Ekspedisi Dekad Legasi UTM Everest 2016-2026 yang berlangsung di Everest Base Camp (EBC) Tibet.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merancang melaksanakan satu lagi misi menakluk Gunung Everest dalam tempoh dua tahun lagi bagi meneruskan legasi kecemerlangan universiti itu di peringkat global.

Naib Canselornya, Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata, program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam menyemarakkan semangat jati diri, ketahanan mental dan kecemerlangan dalam kalangan warga UTM.

“Ekspedisi Dekad Legasi UTM Everest 2016-2026 yang berlangsung di Everest Base Camp (EBC) Tibet bukan sekadar memperingati kejayaan bersejarah menakluk puncak itu oleh graduan UTM lebih sedekad lalu, sebaliknya menjadi simbol semangat juang dan kecemerlangan universiti di pentas antarabangsa.

“Kami amat berbangga dengan kesungguhan 15 peserta yang menyertai ekspedisi ke EBC Tibet bagi meraikan sambutan sedekad kejayaan bersejarah itu.

“Ketabahan dan semangat yang ditunjukkan oleh dua bekas pelajar iaitu Azim Afif Ishak dan Mohd Farul Aidid Mahamad Yusoff, wajar dijadikan contoh kepada generasi muda khususnya mahasiswa UTM,” katanya pada sidang telemedia sempena meraikan kejayaan Ekspedisi Dekad Legasi UTM Everest 2016-2026 di EBC Tibet baru-baru ini.

Seramai 15 peserta menyertai Program Dekad Legasi UTM Everest 2016-2026 yang berlangsung dari 3 hingga 13 Jun depan yang dianjurkan Persatuan Alumni UTM (PAUTM) bersama UTM Space yang  diketuai oleh Dr. Bakri Zainal Abidin selaku wakil PAUTM dan turut disertai Tan Sri Dr. Salleh Mohd Noor yang juga Chef de Mission Everest UTM 2026.

Turut menyertai ekspedisi itu adalah wakil penggerak alumni merangkap pendaki Everest UTM 2016, Azim Afif Ishak bersama pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Industri, Muhammad Zurysh Effandy Nuruleffandy, 22, dan pelajar tahun satu Diploma Sukan dan Kecergasan UTM Space, Dhanesh Babbu Krishnan, 19.

Mohd Shafry berkata, UTM berbangga kerana Azim Afif dan Mohd Farul Aidid mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama daripada lebih 3,800 pendaki yang direkodkan di peringkat antarabangsa berjaya menawan Gunung Everest melalui laluan Tibet.

“Saya yakin inilah semangat yang perlu dicontohi oleh anak muda. Semangat juang yang tinggi dan kekal teguh perlu diterapkan bagi memastikan UTM terus berada di persada antarabangsa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berharap pencapaian dua ikon pendaki UTM itu dapat menyumbang kepada satu lagi pengiktirafan negara termasuk direkodkan dalam Malaysia Book of Records. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast