PUTRAJAYA – Kerajaan memandang serius keresahan rakyat berhubung isu kebanjiran warga Rohingya dan aktiviti mereka di beberapa lokasi yang menjadi perhatian umum di negara ini terutama di kawasan Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, kebimbangan disuarakan rakyat tidak boleh dipandang ringan malah sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan menerusi tindakan susulan oleh agensi berkaitan.
“Secara jujur, saya faham kerisauan rakyat. Hari pertama saya dilantik (Ketua Pengarah J-Kom), saya terus turun ke tiga pasar termasuk Selayang untuk melihat sendiri keadaan sebenar di sana.
“Malah semua isu yang tular di media sosial perlu diambil maklum kerana ia mencerminkan keresahan rakyat. Bila rakyat resah, komuniti juga resah.
“Sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti, ini tugas kami adalah membawa perkara itu kepada pihak atasan untuk tindakan sewajarnya,” katanya dalam sidang media selepas membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan, Albert Tei di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini.
Tambahnya, hasil lawatan dan maklum balas yang diterima berhubung perkara itu telah dibawa kepada perhatian beberapa kementerian termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Komunikasi serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, tindakan awal juga telah diambil apabila PBT menjalankan pemeriksaan ke atas struktur yang didakwa dibina oleh warga asing dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang.
Jelasnya, kerajaan tidak bersikap pasif dalam menangani isu berkenaan dan mengambil langkah segera sebaik sahaja aduan serta kebimbangan rakyat dibangkitkan.
“Bagi saya kerajaan sangat memahami keresahan rakyat dan pada malam itu, saya turun bersama pihak polis ke lokasi yang tular namun keadaan sudah jauh berbeza serta tindakan penguatkuasaan sudah dilaksanakan,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau turut menggesa semua agensi penguat kuasa bertindak tegas terhadap sebarang unsur salah guna kuasa atau rasuah yang boleh menjejaskan usaha menangani isu berkenaan.
Mohd Hisyamuddin berkata, pihaknya juga akan tampil dengan pendekatan lebih pantas dan proaktif menerusi gagasan ‘J-Kom 4.0’ dalam menangani isu rakyat di negara ini. – MalaysiaGazette
















