Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pasaran buruh Malaysia pada suku pertama (S1) tahun ini terus menunjukkan daya tahan yang kukuh dengan pengangguran berada pada kadar 2.9 peratus, namun cabaran utama masih melingkari isu ketidakpadanan kemahiran dan pengangguran belia.

Malah, data Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang merekodkan 24,025 individu mengalami kehilangan pekerjaan bagi suku sama mencerminkan keperluan melaksanakan intervensi pada kadar segera.

Meskipun pola kehilangan pekerjaan pada suku tersebut meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya, ia secara tidak langsung membuka ruang bagi program peralihan kerjaya dan peningkatan kemahiran yang sedang digerakkan oleh PERKESO.

“Perkembangan semasa menunjukkan ketidaktentuan ekonomi dunia akibat konflik geopolitik, ketegangan perdagangan serta turun naik harga minyak memberi ruang untuk strategi sokongan lebih berfokus serta inovatif terhadap kestabilan pekerjaan domestik.

“Melalui ekosistem komprehensif daripada SIP, PERKESO tidak sekadar menyalurkan bantuan kewangan sementara, malah menyediakan intervensi aktif menerusi portal MYFutureJobs sebagai hab pemadanan kerjaya nasional.

“Ruang peningkatan kemahiran turut diperluas melalui program upskilling dan reskilling berasaskan permintaan industri, di samping khidmat bimbingan kerjaya khusus bagi memastikan tenaga kerja negara kekal kompetitif dan dinamik dalam mendepani perubahan pasaran,” menurut kenyataan dikeluarkan PERKESO.

Bagi tempoh Januari hingga 5 Jun 2026, PERKESO turut meluluskan 137,887 tuntutan faedah melalui SIP, melibatkan jumlah pengesyoran bayaran keseluruhan mencecah RM255 juta.

Tuntutan ini merangkumi elaun kritikal seperti Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB), dan Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), selain pembiayaan Fi Latihan (FL) serta Elaun Latihan (EL).

“Jika dibandingkan S1 tahun-tahun lalu, 2022 merekodkan 10,433 kes kehilangan pekerjaan, diikuti 10,985 kes (S1 2023), meningkat sedikit kepada 13,535 kes (S1 2024) dan melonjak kepada 16,174 kes (S1 2025).

“Secara pecahan, sebanyak 10,658 kes direkodkan pada Januari lalu iaitu yang tertinggi tinggi, diikuti 7,512 kes (Februari) dan 5,855 kes (Mac),” menurut kenyataan sama.

Dari sudut industri pula, PERKESO memaklumkan bahawa sektor pembuatan kekal mencatatkan kes kehilangan pekerjaan tertinggi dengan 4,871 kes (20.3 peratus), didorong oleh peningkatan kos operasi dan ketidaktentuan permintaan global.

Corak pada suku pertama tahun ini menunjukkan tekanan pemberhentian pekerja berlaku secara meluas sejak awal tahun, dengan pekerja berusia antara 25 hingga 39 tahun mencatatkan hampir separuh daripada keseluruhan kes kehilangan pekerjaan iaitu 11,997 kes.

“Daripada jumlah itu, kumpulan umur 25 hingga 29 tahun merekodkan 4,428 kes, diikuti umur 30 hingga 34 tahun sebanyak 4,218 kes dan umur 35 hingga 39 tahun sebanyak 3,351 kes.

“Kumpulan ini merupakan tulang belakang ekonomi, meliputi golongan muda yang berpeluang menambah kemahiran dan membina kerjaya lebih kukuh menerusi usaha-usaha digerakkan PERKESO.

“Data PERKESO juga menunjukkan bahawa pemegang Diploma dan Ijazah Sarjana Muda merekodkan 10,737 kes kehilangan pekerjaan daripada keseluruhan kes, sekali gus menekankan kepentingan penyepaduan program upskilling dan reskilling untuk golongan berpendidikan tinggi.

“PERKESO akan terus memantau situasi semasa dan mengenal pasti sektor paling terkesan serta yang memerlukan intervensi segera, dengan program latihan, peluang kerjaya terus ditingkatkan bagi menyokong segenap lapisan pekerja yang terjejas,” menurut kenyataan berkenaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast