Trofi Piala Dunia.

SETIAP kali Piala Dunia FIFA berlangsung, perhatian rakyat Malaysia tertumpu kepada aksi pasukan terbaik dunia. Kedai mamak dipenuhi peminat, media sosial menjadi medan perdebatan dan jutaan penonton berjaga hingga lewat malam untuk menyaksikan perlawanan.

Namun di sebalik kemeriahan itu, terdapat satu industri gelap yang turut berkembang pesat iaitu sindiket perjudian bola sepak.

Bagi sindiket perjudian, Piala Dunia bukan sekadar kejohanan sukan. Ia merupakan peluang untuk menjana keuntungan luar biasa dalam tempoh yang singkat. Minat tinggi masyarakat terhadap bola sepak menyebabkan jumlah pertaruhan meningkat berkali ganda berbanding musim biasa.

Setiap perlawanan, setiap gol dan setiap keputusan menjadi komoditi yang boleh dipertaruhkan.

Pada masa lalu, aktiviti perjudian bola sepak banyak bergantung kepada ejen yang beroperasi secara fizikal. Pelanggan perlu menghubungi bookie atau berjumpa secara bersemuka untuk membuat taruhan.

Namun revolusi digital telah mengubah sepenuhnya landskap perjudian. Hari ini, sindiket boleh beroperasi dari mana-mana sahaja di dunia dan mengurus ribuan pelanggan di Malaysia hanya melalui telefon pintar.

Kebanyakan sindiket menggunakan laman web, peranti mudah alih dan platform media sosial untuk merekrut pelanggan baharu. Sebahagian besar pelayan sistem mereka ditempatkan di luar negara bagi menyukarkan tindakan penguatkuasaan.

Pelanggan hanya perlu membuka akaun, bayar kredit perjudian dan mula bertaruh tanpa perlu bersemuka dengan mana-mana ejen.

Lebih membimbangkan, sindiket perjudian moden semakin banyak menggunakan mata wang kripto dan sistem pembayaran digital bagi menyembunyikan aliran wang mereka. Bitcoin, Ethereum dan pelbagai aset digital lain menjadi pilihan kerana transaksi boleh dilakukan merentasi sempadan dengan pantas.

Kaedah ini menyukarkan pihak berkuasa mengesan pemilik sebenar wang tersebut dan membuka ruang kepada aktiviti pengubahan wang haram.

Semasa Piala Dunia Qatar 2022, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatat kejayaan besar menerusi Ops Soga IX apabila berjaya menumpaskan beberapa rangkaian sindiket perjudian bola sepak di seluruh negara.

Operasi itu menyaksikan seramai 690 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan perjudian dan pertaruhan bola sepak, manakala nilai keseluruhan kredit perjudian yang dirampas mencecah RM22.3 juta.

Polis turut merampas lebih RM500,000 wang tunai serta ratusan telefon bimbit, komputer riba dan peralatan elektronik yang dipercayai digunakan untuk mengendalikan operasi perjudian secara dalam talian.

Kejayaan tersebut dilaporkan sebagai antara operasi terbesar PDRM dalam membanteras perjudian bola sepak sempena kejohanan Piala Dunia 2022.

Walaupun angka ini menunjukkan kejayaan penguatkuasaan, ia juga memberikan gambaran tentang skala sebenar industri perjudian bola sepak haram di Malaysia.

Jumlah yang dirampas hanyalah sebahagian daripada keseluruhan transaksi yang berlaku sepanjang kejohanan.

Pakar jenayah kewangan berpendapat nilai sebenar pertaruhan mungkin jauh lebih tinggi kerana banyak transaksi dilakukan melalui rangkaian antarabangsa dan platform digital yang sukar dikesan.

Bagi menangani masalah ini, pendekatan yang lebih menyeluruh diperlukan. Penguatkuasaan undang-undang perlu diperkukuhkan dengan penggunaan teknologi forensik digital yang mampu mengesan transaksi kripto dan aliran wang rentas sempadan.

Kerjasama antara polis, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta institusi kewangan antarabangsa juga perlu dipertingkatkan.

Pada masa yang sama, kempen kesedaran awam harus dilaksanakan secara berterusan bagi mendidik masyarakat mengenai risiko perjudian dan taktik manipulasi yang digunakan oleh sindiket.

Piala Dunia seharusnya menjadi medan meraikan semangat kesukanan dan perpaduan. Namun selagi wujud permintaan terhadap perjudian bola sepak, sindiket akan terus mencari ruang untuk beroperasi.

Cabaran sebenar bukan sahaja menangkap bookie atau menutup laman web perjudian tetapi membina kesedaran bahawa keuntungan yang dijanjikan oleh sindiket sering kali berakhir dengan kerugian yang jauh lebih besar kepada individu, keluarga dan masyarakat.

Oleh Rasfan Abu Bakar

Pensyarah Kanan di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA).

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast