Antara penerima anugerah dalam Majlis Graduasi SME Bank iTEKAD ISHRAF 4.0 yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – SME Bank berjaya memperkasa hampir 1,000 usahawan asnaf di seluruh negara dengan menjana pendapatan kira-kira RM40 juta serta mewujudkan 410 peluang pekerjaan menerusi program SME Bank iTEKAD ISHRAF sejak diperkenalkan pada 2020.

Program yang dilaksanakan di bawah rangka kerja kewangan sosial iTEKAD Bank Negara Malaysia (BNM) itu menjadi platform pembangunan keusahawanan bagi golongan asnaf dan komuniti yang mempunyai akses terhad kepada peluang ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Samad Majid Zain berkata, pencapaian program tersebut membuktikan kewangan sosial Islam mampu menghasilkan impak yang bermakna dan berkekalan kepada masyarakat.

“Pencapaian program iTEKAD ISHRAF sejak tahun 2020 membuktikan bagaimana kewangan sosial Islam mampu mewujudkan impak yang bermakna dan berkekalan melalui pengukuhan keupayaan keusahawanan, peningkatan pendapatan serta sokongan terhadap pertumbuhan perniagaan dalam kalangan golongan asnaf dan komuniti yang kurang mendapat perhatian.

“Selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI, kami kekal komited dalam memajukan keusahawanan inklusif dan pembangunan sosioekonomi mampan menerusi pendekatan bersepadu yang menggabungkan modal permulaan, pembangunan kapasiti melalui latihan berstruktur serta peluang akses pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengerusi SME Bank, Zulkiflee Hashim berkata, kejayaan program berkenaan membuktikan peluang yang disertai sokongan dan bimbingan yang sesuai mampu mengubah kehidupan penerima manfaat.

Menurut beliau, hampir RM40 juta pendapatan berjaya dijana hasil penyertaan usahawan dalam program tersebut selain mewujudkan hampir 400 peluang pekerjaan di seluruh negara.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa peluang yang diberikan bersama sokongan yang bersesuaian mampu mengubah kehidupan serta meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Graduasi SME Bank iTEKAD ISHRAF 4.0 hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 14 peserta terbaik mewakili setiap negeri menerima pengiktirafan berdasarkan pencapaian perniagaan masing-masing termasuk pertumbuhan jualan, penggunaan teknologi, penciptaan peluang pekerjaan dan pengembangan pasaran.

Bagi pelaksanaan iTEKAD ISHRAF 4.0 untuk tempoh 2025 hingga 2026, SME Bank memperuntukkan kira-kira RM9 juta yang dijangka memberi manfaat kepada 420 usahawan asnaf di seluruh negara hasil kerjasama dengan pelbagai rakan strategik.

Sehingga kini, SME Bank turut membantu 75 usahawan memperoleh pensijilan halal dan menyalurkan geran berkaitan halal berjumlah RM7 juta kepada kira-kira 137 usahawan bagi menyokong pertumbuhan perniagaan dan akses pasaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast