JASIN – Tular di media sosial kekecohan penduduk Bandar Scientex Jasin, Merlimau di sini malam tadi yang menyangkakan berlaku kes jenayah rupa-rupanya hanya melibatkan seorang bidan tersalah alamat ketika mencari rumah pelanggan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, hasil semakan mendapati, kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu hanya salah faham dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.
Menjelaskan insiden itu, beliau berkata, pihaknya menerima panggilan malam tadi memaklumkan berlaku pertengkaran di kawasan perumahan berkenaan antara beberapa penduduk dengan pasangan suami isteri.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian salah faham itu bermula pada kejadian pertama jam 5.30 petang 8 Jun lalu apabila seorang penduduk memaklumkan berlaku kejadian mencurigakan.

“Penduduk memberitahu terdapat sebuah Perodua Kancil dinaiki seorang lelaki dan wanita yang datang ke rumahnya dalam keadaan mencurigakan serta meminta penghuni membuka pintu.
“Bagaimanapun, mereka sebenarnya tersilap nombor rumah ketika mencari alamat pelanggan wanita berkenaan yang bekerja sebagai bidan dan menawarkan perkhidmatan urutan selepas bersalin dari rumah ke rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kejadian itu, kemudian tular di media sosial beberapa hari lalu meminta penduduk berhati-hati kerana penduduk menyangkakan taman berkenaan mula menjadi sasaran penjenayah.
Lee berkata, dalam kejadian kedua malam tadi, kereta yang sama sekali lagi dilihat berada di kawasan tersebut sehingga menimbulkan syak kepada penduduk.

Menurutnya, tiga penduduk kemudian telah menghampiri kenderaan itu dan mendapati seorang lelaki di dalamnya manakala isterinya sedang berada di sebuah rumah berhampiran untuk mengurut wanita yang baru bersalin.
“Keadaan itu menyebabkan berlaku pertengkaran mulut sebelum menarik perhatian penduduk lain yang mula berkumpul di lokasi sehingga gambar berkenaan tular.
“Kejadian bagaimanapun berakhir dengan perbincangan secara baik di Balai Polis Merlimau melibatkan semua pihak terlibat setelah memahami keadaan sebenar dan saling bermaafan selepas diberikan penjelasan.
“Tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku serta tiada unsur atau percubaan melakukan jenayah dalam kes ini,” katanya.
Lee berkata, polis turut menghargai keprihatinan penduduk yang sentiasa peka terhadap keselamatan kawasan kediaman masing-masing namun menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak mengikut emosi sehingga menimbulkan kekecohan.
“Sebaliknya, sebarang kejadian mencurigakan hendaklah segera disalurkan kepada polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan sewajarnya diambil,” katanya. – MalaysiaGazette
















