Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Beberapa tokoh politik termasuk individu yang pernah memegang jawatan utama dijangka ditahan dan didakwa di mahkamah awal minggu depan berhubung siasatan kes rasuah serta salah guna kuasa.

Menurut sumber, tindakan berkenaan dijangka dilaksanakan selepas pihak berkuasa melengkapkan siasatan.

“Difahamkan ada beberapa pemimpin politik yang akan ditahan dan didakwa minggu depan. Ada dalam kalangan mereka yang pernah memegang jawatan utama dan ada juga yang masih aktif dalam politik,” katanya.

Menurut sumber itu, tindakan yang bakal diambil itu bukan dibuat secara tergesa-gesa sebaliknya selepas proses siasatan yang didakwa dilakukan secara menyeluruh terhadap semua aspek berkaitan.

“Tunggulah, sesuatu yang besar akan berlaku mulai minggu depan. Mereka ini akan dihadapkan ke mahkamah selepas siasatan menyeluruh dijalankan tanpa kompromi,” ujarnya.

Difahamkan, beberapa kertas siasatan yang membabitkan kes rasuah dan salah guna kuasa berprofil tinggi telah melalui pelbagai peringkat penelitian sebelum keputusan mengenai pendakwaan dibuat.

Sumber itu turut mendakwa tindakan berkenaan melibatkan lebih daripada satu individu dan bukan hanya tertumpu kepada satu siasatan tertentu sahaja.

Katanya, perkembangan yang dijangka berlaku minggu depan menjadi antara tindakan penguatkuasaan paling signifikan membabitkan tokoh politik dalam tempoh kebelakangan ini.

“Setakat ini, apa yang boleh dikatakan adalah semua proses berkaitan telah berjalan seperti yang sepatutnya dan keputusan yang dibuat adalah berdasarkan hasil siasatan.

“Banyak perkara akan mula terjawab minggu depan,” katanya.

Perkembangan itu dijangka menjadi perhatian ramai memandangkan individu yang dikaitkan dengan siasatan berkenaan merupakan antara nama yang pernah memainkan peranan penting dalam pentadbiran serta landskap politik negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast