MELAKA – Festival Rasa dan Warisan 2026 (FRW) akan menghimpunkan pelbagai elemen budaya, makanan tradisional dan aktiviti kekeluargaan dalam usaha memperkenalkan semula warisan negara kepada generasi muda.
Pengarah program, Salasiah Ramdhiah Ahmad berkata, festival selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Jun ini akan diadakan di Pekarangan B, Stadium Hang Jebat, Krubong dan dijangka menarik lebih 20,000 pengunjung sehari.
Menurutnya, penganjuran bertujuan mengetengahkan warisan budaya serta makanan tradisional yang semakin kurang dikenali oleh golongan muda selain merancakkan ekonomi setempat di negeri tarikan pelancong ini.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat setempat malah membantu mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan budaya dan warisan.
“Kita mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu menyertai program yang diisi pelbagai aktiviti termasuk pertandingan memasak, mewarna, busana tradisional, karaoke, demonstrasi masakan, pameran khat dan jualan produk tempatan,” katanya di sini.

Beliau berkata, sebanyak 100 vendor daripada pelbagai kategori termasuk makanan, minuman, trak makanan, produk pertanian, kraftangan dan pameran akan mengambil bahagian sepanjang festival berkenaan bermula 10 pagi hingga 11.30 malam.
“Festival ini turut membuka peluang kepada usahawan kecil dan sederhana termasuk usahawan wanita mempromosikan produk mereka yang dianggarkan dihadiri 20,000 pengunjung sehari.
“Antara kelainan festival tersebut ialah penganjuran Malam Qasidah pada hari pertama yang menampilkan kolaborasi persembahan antara individu orang kelainan upaya (OKU) dan masyarakat umum,” tambahnya.
Salasiah berkata, pihaknya membuka ruang kepada golongan OKU menonjolkan bakat mereka di pentas yang lebih besar sekali gus membuktikan bahawa mereka juga mampu menyumbang dalam bidang seni dan kebudayaan.
Festival FRW 2026 turut dimeriahkan dengan persembahan artis antaranya Zaiton Sameon, Mimifly, Elly Xceed, Ayu Damit, Caliph Buskers dan Yasser Atak.
“Selain itu, pengunjung berpeluang memenangi pelbagai hadiah menerusi cabutan bertuah yang diadakan setiap hari dengan setiap pembelian minimum RM30 di gerai vendor melayakkan mereka menerima satu kupon penyertaan.
“Antara tarikan lain termasuk demonstrasi masakan oleh chef jemputan, pameran tulisan khat, pameran warisan serta pengenalan kuih-muih tradisional dari pelbagai negeri di Malaysia. – MalaysiaGazette
















