Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor mengingatkan semua pihak agar tidak terus mencetuskan polemik berhubung kedudukan parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) sehingga boleh menjejaskan kesatuan gabungan itu.

Ketua Penerangannya, Asyraaf Yunos berkata, kenyataan dan pandangan yang dilontarkan secara terbuka mengenai masa depan PN perlu ditangani dengan penuh tanggungjawab serta tidak dilakukan secara terburu-buru.

Menurut beliau, pihaknya mengambil maklum pandangan Ketua Pemuda Pas Selangor berhubung kedudukan parti-parti dalam gabungan tersebut, namun perkara berkenaan sewajarnya diserahkan kepada pimpinan tertinggi untuk diputuskan.

“Semua pihak wajar bertenang, bersabar serta memberikan ruang sepenuhnya kepada kepimpinan tertinggi PN untuk menilai dan membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan gabungan, perjuangan serta rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Asyraaf menegaskan, sebarang perbincangan mengenai hala tuju PN tidak sepatutnya dilakukan melalui medan terbuka yang berisiko menimbulkan pelbagai tafsiran serta mengundang persepsi negatif terhadap gabungan itu.

“PN dibina atas semangat persefahaman, saling menghormati dan kepercayaan antara parti-parti komponen. Justeru, sebarang perkara yang melibatkan hala tuju gabungan sewajarnya dibincangkan secara berhemah melalui saluran yang betul dan diputuskan secara kolektif oleh kepimpinan tertinggi,” katanya.

Beliau berkata, ketika PN berdepan cabaran politik yang semakin mencabar, keutamaan seharusnya diberikan kepada usaha memperkukuh saf kepimpinan dan bukannya membuka ruang kepada perdebatan yang boleh mengeruhkan hubungan antara parti komponen.

Menurutnya, kekuatan PN selama ini terletak pada kemampuan pemimpin-pemimpinnya mengurus perbezaan pandangan tanpa menjejaskan matlamat besar gabungan.

“Armada Bersatu Selangor percaya bahawa kekuatan PN terletak pada kesatuan dan kebijaksanaan para pemimpinnya dalam menguruskan perbezaan pandangan demi mencapai matlamat yang lebih besar,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak supaya menghentikan polemik yang tidak memberi manfaat kepada rakyat dan memberi tumpuan kepada agenda memperkukuh PN sebagai alternatif kepada kerajaan sedia ada.

“Marilah kita semua mengutamakan perpaduan, mengelakkan polemik yang tidak perlu serta terus memberi tumpuan kepada agenda membela rakyat dan memperkukuhkan PN.

“Bersatu Kita Teguh, Berpecah Kita Roboh,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast