KUALA LUMPUR – Pelakon, Datin Lisa Surihani selamat pulang ke tanah air selepas sebulan berada di Tanah Suci Makkah bagi mengerjakan ibadah haji.
Ketibaannya itu disambut penuh kesyukuran oleh suaminya iaitu Datuk Yusry Abdul Halim hari ini.
Kata Yusry, 53, rumah didiaminya bersama anak-anak berasa seakan-akan kosong dan sunyi sepanjang ketiadaan isterinya itu.
“Saya sedang menunggu kepulangan Lisa daripada Tanah Suci. Alhamdulillah sudah selesai semua urusan ibadah haji. Rumah itu bukanlah sebuah rumah yang sempurna tanpa Lisa,” katanya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di Instagram di sini.
Menerusi video itu, suasana penuh emosi jelas terpancar ketika Yusry bersama anak-anak menyambut ketibaan Lisa di lapangan terbang.
Sebaik sahaja Lisa melangkah keluar dari balai ketibaan bersama jemaah lain, wajah ceria Yusry dan anak-anak berubah menjadi sebak.
Anak-anak dilihat berlari mendapatkan ibu mereka sebelum memeluk erat sebagai tanda kerinduan yang sudah lama terpendam.
Pada 7 Mei lalu, Lisa berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan rukun Islam pada musim haji tahun ini. Bagaimanapun, Yusry gagal membuat rayuan dan tidak dapat menunaikan ibadah haji bersama.
Lisa bagaimanapun menganggap ada hikmah di sebalik kegagalan rayuan suaminya itu kerana kehadiran Yusry lebih diperlukan bagi memastikan urusan keluarga serta anak-anak berada dalam keadaan baik.
Untuk rekod, Yusry dan Lisa mendirikan rumah tangga pada 23 Februari 2012.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Yahaira Leanne, 11, Yusof Leonne, 9, dan Yunos Laith, 5 tahun. – MalaysiaGazette
















