Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke

SEREMBAN – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke  berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan merupakan peluang terbaik untuk rakyat menentukan pendirian mereka terhadap krisis politik yang mengakibatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, rakyat kini mempunyai ruang untuk memberikan keputusan muktamad sama ada mahu mengekalkan pentadbiran sedia ada atau menyokong pihak yang mencetuskan ketidakstabilan politik di negeri itu.

Menurutnya, apa yang berlaku di Negeri Sembilan bukan berpunca daripada kegagalan pentadbiran kerajaan negeri, sebaliknya disebabkan tindakan pihak tertentu yang memilih untuk menggugat kerajaan ketika negeri berada dalam keadaan stabil.

“Kerajaan negeri tidak tumbang kerana gagal mentadbir. Kerajaan negeri tidak tumbang kerana rakyat menolak. Kita terpaksa kembali kepada rakyat kerana berlaku percaturan politik yang menyebabkan mandat perlu diperbaharui,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan di sini malam ini.

Anthony yang juga Menteri Pengangkutan berkata, sepanjang lapan tahun pentadbiran PH di Negeri Sembilan, kerajaan negeri berjaya mengekalkan rekod pentadbiran yang bersih serta menarik pelaburan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun juga berjaya memastikan kedudukan kewangan negeri berada pada tahap yang lebih kukuh berbanding sebelum ini.

“Kalau kita lihat rekod kerajaan negeri, tidak ada sebab untuk rakyat menghukum pentadbiran yang telah bekerja dan menunjukkan prestasi baik.

“Sebab itu saya yakin rakyat Negeri Sembilan cukup matang untuk menilai apa yang berlaku dan membuat keputusan yang tepat pada 1 Ogos nanti,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan DAP akan terus menyokong Aminuddin sebagai Menteri Besar sekiranya PH diberi mandat sekali lagi mentadbir negeri itu.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat berdasarkan rekod perkhidmatan dan kepimpinan Aminuddin yang disifatkan berjaya mengekalkan kestabilan politik serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Anthony berkata, DAP tidak meminta sebarang tambahan kerusi dalam rundingan PRN kali ini walaupun mempunyai kekuatan tersendiri.

Sebaliknya, katanya, parti itu hanya mempertahankan 11 kerusi yang dimenangi sebelum ini demi memastikan rundingan dalam PH berjalan lancar dan memberi tumpuan kepada matlamat lebih besar iaitu kemenangan gabungan berkenaan.

“Kita bukan bertanding untuk parti semata-mata. Kita bertanding untuk memastikan Negeri Sembilan terus mempunyai kerajaan yang stabil dan mampu memberi tumpuan kepada pembangunan rakyat.

“Yang penting sekarang ialah memastikan rakyat memberi mandat yang jelas supaya episod ketidakstabilan politik ini tidak berulang lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast