Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meninjau pengoperasian Loji Sisa Ke Tenaga (WTE) sebuah projek transformasi pengurusan sisa dan pembangunan tenaga lestari negara ketika di Jeram, Kuala Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 12 JUN 2026.

KUALA SELANGOR – Operasi Loji Sisa-ke-Tenaga 1 (WTE1) di Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu (ISWMC) Jeram di sini mematuhi sepenuhnya piawaian alam sekitar yang ditetapkan, dengan semua data pelepasan dan prestasi operasi dipantau secara langsung oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penggunaan teknologi moden dalam loji berkenaan membolehkan pengurusan sisa pepejal dilakukan secara lebih mampan tanpa menjejaskan alam sekitar dan kesihatan penduduk setempat.

“Kita telah melihat sendiri di pusat kawalan bahawa semua data operasi dipantau secara langsung oleh Jabatan Alam Sekitar. Mereka dapat melihat tahap pelepasan dan kecekapan sistem pada setiap masa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan operasi WTE1 Jeram, di sini, hari ini.

Kakitangan Worldwide melakukan kerja-kerja pemunggahan sampah sebelum proses pembakaran pada Operasi Loji Sisa Ke Tenaga (WTE) sebuah projek transformasi pengurusan sisa dan pembangunan tenaga lestari negara ketika di Jeram, Kuala Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 12 JUN 2026.

Amirudin juga berkata, antara aspek utama yang diberi perhatian ialah kawalan terhadap pelepasan debu serta bahan pencemar berbahaya seperti dioksin yang sering menjadi kebimbangan masyarakat terhadap operasi loji pembakaran sisa.

Jelasnya, semua proses pembakaran di WTE1 tertakluk kepada syarat ketat yang ditetapkan oleh JAS bagi memastikan pelepasan yang terhasil berada dalam had yang dibenarkan.

“Antara perkara yang dikawal ialah suhu pembakaran, pelepasan debu dan pencegahan penyebaran bahan seperti dioksin. Semua ini merupakan sebahagian daripada keperluan yang wajib dipatuhi oleh operator loji.

“Berdasarkan pemantauan sepanjang bulan pertama operasi, semua bacaan yang direkodkan berada dalam julat yang dibenarkan dan memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Amirudin juga berkata, teknologi WTE merupakan antara penyelesaian jangka panjang lebih lestari berbanding kaedah pelupusan konvensional kerana mampu mengurangkan jumlah sisa dihantar ke tapak pelupusan.

“Hanya kurang 20 peratus sisa berbentuk abu dan residu pembakaran yang perlu dilupuskan selepas proses penjanaan tenaga dilakukan.

“Ini bermakna lebih 80 peratus daripada jumlah sisa yang diterima dapat dikurangkan melalui proses rawatan dan penjanaan tenaga, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap kawasan tapak pelupusan sedia ada,” katanya.

Tambah beliau, penggunaan teknologi WTE juga dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan sampah yang memerlukan kawasan tanah yang luas selain berpotensi menimbulkan masalah pencemaran sekiranya tidak diuruskan dengan baik.

Selain pengurusan sisa pepejal, loji itu katanya, turut menjana tenaga elektrik daripada proses pembakaran sampah yang kemudiannya digunakan semula bagi menggerakkan operasi loji dan disalurkan ke grid Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Prestasi penjanaan tenaga WTE1 setakat ini menunjukkan tahap kecekapan yang sangat baik dan mencapai hampir 100 peratus kapasiti operasi.

“Setakat bulan pertama operasi, prestasi loji sangat memberangsangkan. Bukan sahaja dari segi pengurusan sisa, malah dari aspek penjanaan tenaga dan pematuhan alam sekitar,” katanya.

Kataya lagi, kerajaan negeri akan terus memastikan aspek keselamatan, kesihatan awam dan pemeliharaan alam sekitar menjadi keutamaan dalam pengoperasian semua projek WTE di Selangor.

“Kita tidak mendakwa sistem ini sempurna, tetapi kita akan sentiasa memantau dan memastikan setiap keperluan alam sekitar dipatuhi supaya operasi loji ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negeri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast