Mikhail Isaaq dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya dengan diiringi anggota polis.

PUTRAJAYA – Seorang pempengaruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya seorang wanita sehingga menyerahkan wang RM80,000 kononnya sebagai modal perniagaan penjualan kosmetik pada Mei tahun lalu.

Tertuduh, Mikhail Isaaq Mohd Rodzi, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Ezrene Zakariah.

Mengikut pertuduhan, Mikhail Isaaq didakwa memperdaya mangsa, Tan Mei Lan, 58, untuk menyerahkan wang berjumlah RM80,000 bagi tujuan modal perniagaan kosmetik.

Dia turut didakwa menjanjikan kedudukan sebagai rakan kongsi dalam Syarikat Two M Legacy kepada mangsa dengan tawaran gaji RM10,000 sebulan serta imbuhan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan syarikat setiap bulan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 3.30 petang pada 21 Mei 2025 di Bank Muamalat, Presint 15, di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Batrisyia Mohd Khusri, menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Izleen Ismail, memohon jaminan yang lebih rendah dengan alasan anak guamnya sudah berkahwin, mempunyai dua anak berusia dua dan empat tahun serta tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Menurutnya, isteri tertuduh juga baru memulakan perniagaan bagi menampung keperluan keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast