Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Bryan Ng Yih Miin

KUALA LUMPUR – Keputusan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung meletakkan jawatan daripada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR disifatkan sebagai tindakan yang tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat kawasan itu.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Bryan Ng Yih Miin berkata, tindakan tersebut bukan sahaja mengecewakan ahli parti yang telah memberikan mandat kepada Chean Chung dalam pemilihan parti malah mengurangkan suara serta pengaruh komuniti Petaling Jaya dalam parti yang menerajui kerajaan.

“Persoalannya mudah, apakah manfaat yang diperoleh rakyat Petaling Jaya daripada tindakan ini? Jawapannya, tiada.

“Beliau menerima sokongan ribuan anggota parti untuk berada dalam MPP, namun memilih untuk melepaskan tanggungjawab tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bryan yang juga Pengerusi Biro Undang-undang dan Aduan PKR Selangor berkata, dakwaan Chean Chung yang pandangannya tidak didengar dalam parti juga tidak wajar memandangkan beliau dikatakan tidak menghadiri mesyuarat MPP sejak November tahun lalu.

Katanya, seseorang pemimpin tidak boleh mendakwa suaranya diketepikan sekiranya memilih untuk tidak hadir ke platform yang disediakan bagi menyuarakan pandangan dan pendirian.

“Jika benar beliau mempunyai prinsip dan keberanian politik, tempat untuk mempertahankannya adalah dalam mesyuarat dan proses dalaman parti bukan selepas berbulan-bulan tidak menghadiri mesyuarat,” katanya.

Mengulas dakwaan berhubung pembatalan akses Pejabat Ahli Parlimen Petaling Jaya kepada sistem MyKhas, Bryan berkata, rakyat di kawasan itu tidak pernah dinafikan bantuan kerana saluran permohonan masih dibuka kepada penduduk, pertubuhan dan badan bukan kerajaan melalui mekanisme yang ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, penjelasan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri sebelum ini menunjukkan dana MyKhas merupakan peruntukan khas di bawah seliaan Perdana Menteri dan masih boleh diakses menerusi saluran yang sah.

Beliau turut mendakwa tindakan Chean Chung mempunyai persamaan dengan beberapa pemimpin PKR yang melepaskan jawatan selepas gagal dalam pemilihan parti termasuk bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Yang diperlukan rakyat ialah wakil yang terus berjuang, berunding dan bekerja untuk kepentingan masyarakat walaupun berdepan perbezaan pandangan atau cabaran politik,” katanya.

Bryan berkata, kepimpinan sebenar diuji ketika berhadapan tekanan dan keputusan yang tidak memihak kepada diri sendiri, bukannya ketika keadaan selesa.

“Tanggungjawab seorang pemimpin adalah kekal berada di meja perbincangan dan berusaha mencari penyelesaian. Meninggalkan kedudukan yang diberikan oleh anggota parti dan rakyat bukanlah jalan terbaik untuk memperjuangkan perubahan,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

`Saya sudah tak mampu lagi berada dalam kepimpinan, bekerjasama dengan mereka’ – MP PJ

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast