Salah seorang pencarum PERKESO yang layak menerima bantuan rawatan dan penggantian pendapatan di bawah Skim LINDUNG 24 Jam.

KUALA LUMPUR – Tiga pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Perak yang terlibat dalam kemalangan di luar waktu kerja, disahkan layak menerima bantuan rawatan dan penggantian pendapatan di bawah Skim LINDUNG 24 Jam.

PERKESO memaklumkan, kesemua mangsa terlibat dalam insiden berasingan merangkumi kemalangan jalan raya dan kemalangan domestik sewaktu hari cuti itu, membuktikan kepentingan perlindungan 24 jam yang disediakan kepada pekerja Akta 4 sejak dikuat kuasa pada 1 Jun lalu.

“Kes pertama melibatkan Chen Chee Ling, 51, yang bekerja sebagai runner di sebuah syarikat kereta terpakai, mengalami patah pergelangan tangan kanan akibat tergelincir di sebuah kedai makan di Manjung.

“Insiden tersebut berlaku pada 1 Jun lepas ketika beliau keluar bersarapan bersama keluarganya sempena cuti umum.

“Hasil semakan mendapati beliau merupakan pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (LINDUNG Pekerja) dan layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS),” kata PERKESO dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini

Jelas pertubuhan itu, beliau mendapat rawatan perubatan di Hospital Seri Manjung dan akan menerima bayaran penggantian pendapatan bagi sepanjang tempoh cuti sakitnya dari 1 Jun sehingga 16 Jun ini, selain bakal menjalani beberapa sesi rawatan susulan.

Sementara itu, kes kedua melibatkan Nor Izzati Mohd Fazil, 27, dari Bota, mengalami patah tangan kanan, luka di kening, serta kesan melecur di tapak kaki selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor kerbau pada jam 1.30 pagi, 4 Jun lepas, ketika dalam perjalanan pulang dari Ipoh.

Beliau telah dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk menjalani pembedahan implan bernilai RM2,700 pada 11 Jun lalu.

Susulan rawatan tersebut, beliau disahkan layak menerima manfaat FHUS di bawah skim LINDUNG 24 Jam.

Dalam pada itu, PERKESO turut memaklumkan, pembantu syarikat pembinaan, Ishvinder Singh Reginder Singh, 31, turut menerima faedah sama selepas motosikalnya terbabas akibat jalan berpasir dan licin di Jalan Silibin, Ipoh, pada 8 Jun lepas.

“Insiden ini berlaku, selepas beliau pulang daripada majlis perkahwinan dan mengakibatkan beliau patah kaki kiri serta luka di muka, tangan, dan bahu.

“Meskipun, beliau baru bekerja sejak 1 Mei lalu, semakan mengesahkan beliau layak dilindungi di bawah LINDUNG 24 Jam dan dijadualkan menjalani pembedahan di HRPB, Ipoh pada 12 Jun ini,’ tambah Pertubuhan itu.

Sementara itu, PERKESO turut menjelaskan, walaupun belum sampai dua minggu LINDUNG 24 Jam diperkenalkan, pihaknya menerima pelbagai laporan kemalangan bukan bencana kerja.

Katanya, ini sekali gus membuktikan bahawa perlindungan sosial tidak sepatutnya dihadkan kepada waktu bekerja sahaja kerana musibah boleh terjadi dalam sekelip mata sewaktu beriadah atau bercuti.

“Justeru, perlindungan komprehensif seperti LINDUNG 24 Jam ini amat penting bagi mengelakkan pekerja berdepan kesukaran kewangan ketika ditimpa musibah,” jelas kenyataan itu.

Skim LINDUNG 24 Jam merupakan inisiatif terbaharu PERKESO bagi menyediakan perlindungan berterusan kepada pekerja di Malaysia. Melalui jaringan keselamatan sosial ini, pencarum yang terkesan dengan insiden luar waktu kerja tetap dibantu untuk meneruskan kelangsungan hidup serta menjalani proses pemulihan dengan lancar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast