KUALA LUMPUR – Bekas menteri; bekas Exco; bekas pemimpin kanan parti politik; profesor; teknokrat dalam bidang pengangkutan; olahragawan dan personaliti televisyen antara yang akan diumumkan menyertai Pas malam ini.
Perkara itu didedahkan Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa yang turut memaklumkan, tokoh lain termasuk teknokrat dalam bidang pengangkutan; perancangan bandar da n tokoh anak muda.
Menurut beliau, penyertaan seramai 10 tokoh terbabit ke dalam parti itu sekali gus melambangkan wajah Pas `For All’.
Sementara itu, Annuar menerusi Facebooknya turut mendedahkan Pas sudah berbincang berkenaan hala tuju rakan komponen di dalam Perikatan Nasional (PN).
“Minggu ini mereka akan umumkan pendirian mereka. Komponen PN kekal bersama. Way forward juga dibuat bersama.
“Selanjutnya rakan politik lain yang sebelum ini terhalang menyertai saf besar akan dihubungi dan pintu yang tertutup dibuka untuk mereka. Tiada lagi sekatan,” katanya.
Tambah beliau, langkah seterusnya adalah usaha muafakat dan kerjasama membina teras dan tunjang politik negara bakal di muktamadkan.
“Payung besar dibuka. Agenda besar untuk negara digarab semula. Sesungguhnya “Malaysia Deserves Better“,” katanya.
Terdahulu, beliau menyifatkan sekarang adalah masanya untuk Pas bergerak ke hadapan selepas parti itu mengambil masa yang panjang untuk memperkasa hala tuju PRU-16, serta pelbagai ikhtiar telah dibuat.
“Ahli dan penyokong Pas tidak perlu terlalu tertumpu kepada polimik yang sengaja di cetuskan yang niatnya mengganggu perjalanan dan perjuangan Pas. Ayuh mara ke hadapan.
“Petang ini Presiden Pas dan mungkin Pengerusi PN juga, akan hadhir Konvensyen Reset. Isyarat jelas Bersatu fraksi mantan Timbalan Presidennya akan terus move on bersama. Semua ahli Berastu dialu-alukan untuk bergerak bersama,” katanya. – MalaysiaGazette
















