LONDON – Manchester United dilaporkan kini berada di hadapan Arsenal dalam perlumbaan mendapatkan pemain tengah sensasi West Ham, Mateus Fernandes, lapor Telegraph.
Wartawannya, James Ducker mendedahkan Arsenal dikatakan enggan memenuhi harga West Ham sebanyak £80 juta untuk pemain berusia 21 tahun itu sekali gus memberikan kelebihan kepada Man United.
Namun Man United masih berwaspada terhadap kemungkinan Real Madrid turut menyertai perlumbaan.
“Jose Mourinho, yang baru dilantik sebagai pengurus Real Madrid dilaporkan turut berminat dengan pemain tersebut.
“Namun terdapat keyakinan yang semakin meningkat di Old Trafford di mana kapten kelab Bruno Fernandes dilaporkan telah memberikan pandangan positif mengenai Mateus kepada pihak kelab.
“Buat masa ini, Manchester United berada di kedudukan terbaik dan terdapat keyakinan bahawa perpindahan itu masih berpotensi untuk direalisasikan,” kata laporan itu.
Sementara itu, pakar perpindahan bola sepak dunia, Fabrizio Romano memberitahu, Man United dilaporkan sedang berhubung dengan West Ham untuk membincangkan nilai perpindahan pemain tengah tersebut.
“Pada masa yang sama, perbincangan dengan ejen pemain juga masih diteruskan.
“Namun sekali lagi United menegaskan bahawa mereka mempunyai had yang jelas di mana kelab tidak berhasrat untuk mengeluarkan dana yang besar demi melengkapkan perpindahan ini,” katanya. – Agensi
















