Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dua wanita tempatan direman bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat bayi di hadapan sebuah pusat perlindungan bayi di Jalan Bukit Gasing, di Petaling Jaya, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.10 pagi.

Menurut beliau, hasil tindakan susulan membawa kepada penahanan kedua-dua suspek berusia 20- an yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

“Semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Polis turut merampas beberapa barangan bagi membantu siasatan.

“Prosedur bedah siasat yang dijalankan ke atas bayi berkenaan mengesahkan punca kematian adalah akibat keguguran.

“Bayi itu juga disahkan telah meninggal dunia melebihi 24 jam sebelum ditemukan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, Mahkamah Majistret membenarkan suspek pertama direman selama dua hari sehingga 14 Jun ini, manakala suspek kedua direman tiga hari sehingga 15 Jun bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayi secara sulit.

Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast