KUALA LUMPUR – Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerima jemputan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bagi melihat pelaksanaan projek KTM Komuter pada Selasa ini.
Menurutnya, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk hadir pada program itu dan bersedia melapangkan jadual bagi tujuan tersebut.
Namun, ujarnya, pejabat beliau sehingga kini belum menerima sebarang surat jemputan rasmi dan butiran program itu daripada pihak Kementerian Pengangkutan untuknya hadir mewakili Kerajaan Negeri Johor.
“Saya menunggu surat jemputan rasmi dan butiran program. Insya-Allah, saya akan melapangkan jadual saya bagi tujuan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung DAP, mempelawa Onn Hafiz menaiki komuter bersamanya di program di bawah Kementerian Pengangkutan di Johor pada Selasa depan.
Jemputan sebagai Menteri Pengangkutan itu dipercayai susulan kenyataan Onn Hafiz yang mendakwa lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan DAP.
Dalam masa sama, Onn Hafiz menegaskan, pelaksanaan projek itu adalah demi kesenangan Bangsa Johor, bukan kerjasama politik.
“Jadi sepatutnya tidak timbul sebarang masalah atau keraguan. Pada saya, urusan rasmi kerajaan dan urusan kerjasama politik adalah dua perkara yang berbeza,” katanya.
Sementara itu, Onn Hafiz berkata, beliau terharu dengan “keikhlasan” jemputan itu kerana sekurang-kurangnya, Kerajaan Negeri Johor akhirnya “dijemput”, walaupun program itu telah dirancang sejak lebih seminggu lalu.
Ini kerana, menurutnya, dalam beberapa program kementerian sebelum ini, beliau serta Exco yang bertanggungjawab tidak mendapat sebarang jemputan rasmi.
Antaranya, kata beliau, ketika lawatan ke CIQ pada 9 Januari 2023; lawatan dan pengumuman VEP (26 September dan 4 Oktober 2024) dan lawatan ke ETS Segamat (23 Mac 2025).
“Terkini adalah pada 3 April 2026, ketika Lawatan Kerja YB Menteri Pengangkutan ke tapak projek RTS Link, Kerajaan Negeri sekali lagi tidak dijemput.
“Namun beberapa pemimpin DAP Johor pula dilihat hadir dalam program.
“Apabila saya berhubung dengan pihak tertinggi Kementerian Pengangkutan, saya dimaklumkan jemputan hanya melibatkan pihak vendor/pembekal.
“Adakah pemimpin-pemimpin DAP ini merupakan vendor/pembekal?” soalnya.
Sementara itu, Onn Hafiz menjelaskan, bagi memastikan agenda memperkasakan pengangkutan awam di Johor melalui projek KTM Komuter dapat berjalan dengan baik, kerajaan negeri turut menghulurkan bantuan sebanyak RM700,000 bagi kerja-kerja mencantikkan dan membalut tren.
Malah, beliau turut difahamkan pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan bagi menunggu kehadiran Anthony Loke untuk melancarkannya pada hari Selasa ini.
“Selain itu, atas permohonan KTM, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) turut bersetuju untuk menyediakan perkhidmatan bas pengantara di stesen-stesen terlibat, termasuk perkhidmatan shuttle dengan kos operasi sekitar RM86,000.
“Kerajaan Negeri juga menyelaras laluan Bas Muafakat Johor serta menaja tempat duduk bernilai kira-kira RM9,000 demi keselesaan penumpang,” katanya.
Tambah Onn Hafiz, perkongsian beliau ini bukanlah bertujuan untuk “claim credit”, tetapi sekadar memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Johor turut menyumbang dalam menjayakan inisiatif Kerajaan Persekutuan.
Ujarnya, Johor bukan sekadar menerima, tetapi turut membantu melaksanakan.
“Bagi saya, projek pembangunan bukanlah milik mana-mana parti politik termasuklah DAP.
“Sebaliknya, ia adalah tanggungjawab semua pihak yang diberikan amanah dan kita mesti kekal profesional untuk melaksanakannya demi manfaat dan kesenangan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette















