KUALA LUMPUR – Sebuah penempatan haram komuniti Rohingya di Sungai Tekali, Hulu Langat, yang tular baru-baru ini, telah dirobohkan dalam satu operasi, hari ini.
Perkembangan itu dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz menerusi hantaran video di Facebooknya.
Menurut beliau, perobohan struktur bangunan haram terbabit dilaksanakan sendiri oleh pemilik tanah.

Video berdurasi 1.14 saat itu turut menunjukkan, beberapa struktur bangunan yang dibina di kawasan berkenaan telah dirobohkan menggunakan jentera berat.
Ia turut memaparkan sebuah bangunan dua tingkat yang mengalami kerosakan teruk selepas sebahagian besar strukturnya dirobohkan.
Turut kelihatan timbunan runtuhan konkrit, kepingan zink dan bahan binaan lain memenuhi kawasan sekitar lokasi. -MalaysiaGazette
















