KUALA LUMPUR – Peningkatan kadar pengangguran negara kepada 3.0 peratus pada April lalu melibatkan kira-kira 511,800 penganggur merupakan perkembangan yang membimbangkan, kata Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, peningkatan semula kadar pengangguran memberi isyarat bahawa pasaran pekerjaan negara sedang berdepan cabaran yang semakin serius.
Menurut beliau, peningkatan jumlah penganggur dalam semua kategori menunjukkan bahawa isu pengangguran negara bukan lagi sekadar cabaran sementara, tetapi petanda kelemahan kerajaan Madani PH-BN yang perlu ditangani secara serius.
Ujarnya, data terkini menunjukkan penganggur aktif yang bersedia untuk bekerja dan sedang aktif mencari pekerjaan meningkat kepada 407,100 orang.
“Ini bermakna ratusan ribu rakyat sebenarnya mahu bekerja, mempunyai kesediaan untuk menyumbang kepada ekonomi negara, namun masih gagal memperoleh peluang pekerjaan yang sesuai kerana kegagalan kerajaan menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi dan bertepatan.
“Lebih membimbangkan, sebahagian daripada mereka telah menganggur dalam tempoh yang panjang, sekali gus meningkatkan risiko kehilangan kemahiran, tekanan kewangan dan masalah sosial,” ujar beliau dalam hantaran dalam laman Facebook hari ini.
Beliau selanjutnya berkata, pada masa yang sama, peningkatan bilangan penganggur tidak aktif kepada 104,700 orang juga tidak boleh dipandang ringan.
Beliau berpendapat, kumpulan tersebut terdiri daripada mereka yang sudah hilang keyakinan terhadap pasaran pekerjaan dan percaya bahawa peluang pekerjaan yang sesuai tidak wujud untuk mereka.
Katanya, keadaan tersebut mencerminkan tahap kekecewaan yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat terhadap kemampuan kerajaan membangunkan ekonomi negara bagi menyediakan pekerjaan yang mencukupi.
“Lebih membimbangkan ialah kadar pengangguran belia yang terus kekal tinggi. Seramai 290,800 belia berumur antara 15 hingga 24 tahun masih menganggur, manakala jumlah penganggur belia berumur 15 hingga 30 tahun mencecah 394,700 orang.
“Golongan muda merupakan aset dan masa depan negara, namun angka ini menunjukkan ramai yang masih gagal mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan walaupun mempunyai kelayakan akademik dan kemahiran yang diperlukan.
“Apabila jumlah penganggur aktif, penganggur tidak aktif dan penganggur belia semuanya meningkat serentak, kerajaan tidak boleh lagi melihat isu ini sebagai keadaan biasa pasaran buruh.
“Ia menimbulkan persoalan sama ada kerajaan benar-benar berjaya mengenal pasti keperluan sebenar pasaran pekerjaan, merancang pembangunan tenaga kerja mengikut kehendak industri serta mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti yang mampu menyerap tenaga kerja tempatan,” ujarnya.
Menurut Tun Faisal, rakyat berhak bertanya mengenai peluang pekerjaan yang dijanjikan dan mengapa masih ramai yang bersedia bekerja tetapi tidak mendapat pekerjaan manakala semakin ramai yang mula berputus asa untuk mencari kerja.
Sehubungan itu, tegas beliau, kerajaan perlu segera merangka langkah yang lebih berkesan dan menyeluruh bagi menangani ketidakpadanan kemahiran, memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan industri selain menarik pelaburan yang mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.
Ujar beliau, kegagalan bertindak dengan segera hanya akan menyebabkan lebih ramai rakyat tercicir daripada pasaran pekerjaan.
Menurut beliau, keadaan itu akan menjejaskan masa depan ekonomi negara selain meningkatkan kadar masalah sosial, jenayah dan insiden bunuh diri dalam negara. – MalaysiaGazette















