KUALA LUMPUR – Perpecahan yang semakin ketara antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menunjukkan betapa pentingnya kestabilan politik dalam memastikan agenda pembangunan negara dapat diteruskan tanpa gangguan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Gunaraj George berkata, perkembangan terbaharu dalam blok pembangkang itu menimbulkan persoalan mengenai hala tuju serta kemampuan mereka untuk menawarkan sebuah gabungan stabil kepada rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Menurutnya, rakyat ketika ini lebih memerlukan kepimpinan yang mampu menjamin kestabilan politik dan ekonomi berbanding pertikaian dalaman berpanjangan.
“Perkembangan melibatkan Pas dan Bersatu ini menjadi peringatan bahawa perpecahan politik dan ketidaktentuan boleh menjejaskan usaha pembangunan negara.
“Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, penciptaan peluang pekerjaan, menarik pelaburan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat, bukannya terus dibelenggu pertikaian politik,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Gunaraj berkata, dalam keadaan landskap politik semakin mencabar, negara memerlukan kepimpinan yang mampu memberikan hala tuju jelas serta memastikan kesinambungan dasar pembangunan.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuktikan keupayaannya menerajui Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada pelbagai parti sambil mengekalkan kestabilan politik negara.
Menurut beliau, sejak mengambil alih pentadbiran negara pada November 2022, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi menangani kemiskinan tegar, memperkukuh tadbir urus, menarik pelaburan asing dan meningkatkan keyakinan terhadap ekonomi negara.
“Malaysia tidak mampu berdepan ketidaktentuan politik ketika peluang untuk pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan pembangunan negara berada pada tahap yang amat baik.
“Kestabilan, perpaduan dan tadbir urus yang berkesan mesti terus menjadi keutamaan negara,” ujarnya.
Mengulas persiapan menghadapi PRU-16, Gunaraj berkata, rakyat akhirnya akan menilai gabungan mana yang mempunyai rekod pentadbiran, pengalaman dan keupayaan terbaik untuk menjamin masa depan negara.
“Pada akhirnya, rakyat akan membuat penilaian berdasarkan prestasi dan kemampuan sesebuah kepimpinan untuk memastikan Malaysia terus bergerak ke hadapan,” katanya. -MalaysiaGazette
















