KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyelar pihak yang mengaku pejuang bangsa agar berhenti bersandiwara dan bermain kuasa jika mereka benar bertekad untuk menyelamatkan Melayu.
Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, kalau benar berhasrat menyelamatkan Melayu, mereka perlu berhenti memecahkan kekuatan bangsanya setiap kali cita-cita politik sendiri tidak tercapai.
“Cukuplah sandiwara, cukuplah drama kononnya semua orang pejuang bangsa. Kalau benar pejuang, tunjukkan dengan tindakan. Kalau benar ikhlas, hentikan permainan kuasa.
“Bangsa Melayu tidak perlukan lebih ramai jaguh pentas. Bangsa Melayu perlukan pemimpin yang tahu malu apabila bangsanya sendiri dimalukan,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini.
Ibrahim selanjutnya menyatakan, sudah terlalu lama orang Melayu disogok dengan slogan besar kononnya demi Melayu, Islam dan penyatuan ummah dan masa depan bangsa.
Namun beliau menegaskan, senario yang berlaku adalah apabila tiba bab kuasa, kerusi dan jawatan, semuanya berubah.
Ujarnya, kaum Melayu bertikam lidah, memecahkan sesama saf, bergaduh dan `tikam belakang’ serta menjatuhkan sesama sendiri sehingga sama-sama menanggung malu.
“Saya sudah lama dalam politik. Saya tahu apa yang berlaku di depan pentas dan apa yang berlaku di belakang pentas.
“Di depan rakyat bercakap soal perjuangan. Di belakang rakyat bercakap soal kerusi. Di depan rakyat bercakap soal penyatuan. Di belakang rakyat sibuk mengira siapa jadi calon, siapa jadi menteri, siapa jadi ketua dan siapa mesti disingkirkan.
“Jangan buat muka suci. Rakyat bukan bodoh. Rakyat nampak. Rakyat dengar. Rakyat tahu siapa yang bercakap lain dan membuat lain,” ujarnya.
Ibrahim selanjutnya menyatakan, Putra tidak pernah berubah pendirian terhadap DAP iaitu parti rasis yang mesti ditentang habis-habisan.
Namun beliau tidak bersetuju DAP dijadikan `kambing hitam’ setiap kali setiap kali pemimpin Melayu gagal menjaga saf sendiri.
“Mulut siang malam wirid lawan DAP, tetapi DAP makin kuat, Melayu pula makin berpecah. Itu bukan salah DAP semata-mata. Itu salah pemimpin Melayu yang gagal menyatukan Melayu.
“ Kalau benar mahu lawan DAP, Melayu mesti bersatu. Bukan saling menikam, saling menjatuhkan dan saling membuka jalan sampai akhirnya DAP tepuk tangan melihat Melayu berbalah sesama sendiri,” ujarnya.
Ibrahim seterusnya menyuarakan soalan terbuka kepada parti Melayu mengapa akhlak pemimpinnya semakin buruk sehingga membawa kepada perpecahan.
Dakwa beliau, terdapat pemimpin yang kononnya mempertahankan Melayu dan Islam, namun pada masa yang sama sibuk mengira kerusi, berunding jawatan dan mencari jalan menjatuhkan kawan sendiri.
“Di depan rakyat bercakap soal perjuangan. Di belakang rakyat bercakap soal kuasa. Jangan berlakon jadi pejuang kalau hakikatnya pemburu jawatan. Jangan bercakap soal pengorbanan kalau akhirnya yang diperjuangkan hanyalah kedudukan sendiri.
“Jangan jadikan Islam sebagai topeng politik dan Melayu dijadikan sebagai tangga kuasa serta rakyat sebagai penonton sandiwara yang semakin memualkan.
“Jangan lagi jual nama Melayu dan Islam untuk menutup kerakusan politik sendiri. Jangan lagi berlakon jadi pejuang kalau hakikatnya pemburu jawatan dan kebendaan. Jangan lagi bercakap soal maruah bangsa kalau diri sendiri yang sedang memalukan bangsa,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















