KUALA LUMPUR – Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyenaraikan program-program melibatkan beliau dan kementeriannya di Johor yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sejak 2024 hingga terkini.
Ini termasuk Majlis Penyempurnaan Projek Landasan Berkembar Gemas ke Johor Bahru dan Pelancaran ETS sehingga Johor Bahru pada 11 Disember tahun lepas serta pelancaran khas ETS3 dan perasmian Stesen KTM Kluang oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 23 Ogos 2025.
Bagaimanapun katanya, terdapat juga acara yang tidak dihadiri Onn Hafiz mahu pun wakil kerajaan negeri Johor meski pun surat jemputan sudah dihantar seperti yang berlaku di Majlis Peluncuran MyLesenB2 untuk pelajar sekolah di Johor Bahru pada 11 Mei lalu.
“Saya faham musim pilihan raya memang sibuk. Mungkin ada benda yang terlupa.
“Lagipun, ada perbezaan antara lawatan kerja dengan majlis rasmi. Kalau setakat lawatan kerja saya, saya tak nak ganggu masa YAB MB.
“Walaubagaimanapun, surat jemputan akan sampai dalam kadar segera, jumpa nanti Selasa di Kulai ya. Pihak kami juga akan jemput YAB bagi sedikit ucapan,” katanya hari ini.
Hantaran tersebut dilihat sebagai menjawab kenyataan yang dibuat Onn Hafiz semalam yang mengatakan beliau ‘terharu’ kerana akhirnya dijemput Anthony untuk sama-sama menaiki KTM Komuter di Kulai, Selasa ini meski pun masih belum menerima surat jemputan rasmi.
Ini kerana beliau mendakwa, terdapat beberapa lawatan Anthony yang membabitkan projek di Johor tidak pernah membabitkan dirinya atau EXCO kerajaan negeri yang bertanggung jawab. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Onn Hafiz terima jemputan Anthony Loke lihat pelaksanaan projek KTM Komuter Selasa ini
















