Neow Choo Seong

KUALA LUMPUR – Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN), Neow Choo Seong mendakwa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke gagal memahami peranannya sebagai anggota Kabinet apabila isu pelaksanaan projek KTM Komuter di Johor terus menjadi polemik antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Menurutnya, penjelasan yang diberikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung isu berkenaan menunjukkan jemputan yang dikatakan dibuat kepada kerajaan negeri tidak dilaksanakan melalui saluran rasmi yang sewajarnya.

Choo Seong berkata, sekiranya jemputan itu benar-benar dibuat secara ikhlas, urusan berkaitan projek kerajaan sepatutnya dikendalikan mengikut prosedur rasmi, bukannya diumumkan dalam program politik.

“Dalam perkara melibatkan projek kerajaan, profesionalisme perlu diutamakan. Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak boleh dicampuradukkan dengan kepentingan politik kepartian.

“Setakat ini, difahamkan surat jemputan rasmi berserta butiran program juga belum disalurkan melalui saluran kerajaan yang sepatutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mendakwa tindakan mengumumkan perkara berkaitan projek KTM Komuter ketika program pelancaran jentera pilihan raya Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan telah menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan kerajaan dalam menguruskan hubungan dengan kerajaan negeri.

Menurutnya, setiap menteri mempunyai tanggungjawab untuk bekerjasama dengan semua kerajaan negeri secara adil tanpa mengira perbezaan politik demi kepentingan rakyat dan pembangunan negara.

Tambahnya, projek yang dilaksanakan kementerian adalah menggunakan dana awam dan tidak seharusnya dianggap sebagai milik mana-mana parti politik.

“Dalam semangat Persekutuan, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu saling melengkapi bagi menjayakan agenda pembangunan, bukannya berlumba-lumba menuntut kredit atau menuding jari antara satu sama lain.

“Johor juga memainkan peranan serta memberi sumbangan kewangan bagi menjayakan pelbagai inisiatif pembangunan yang dilaksanakan,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau memuji sikap profesional Onn Hafiz yang disifatkan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri meskipun berdepan layanan yang didakwa tidak profesional.

Sehubungan itu, Choo Seong berkata BN perlu terus memberi tumpuan kepada agenda pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat serta tidak terperangkap dalam polemik politik yang menurutnya tidak membawa manfaat kepada masyarakat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast