KUALA LANGAT – Kehadiran seekor buaya dianggarkan sepanjang 10 kaki di dalam longkang berhampiran jalan raya berdekatan Petronas Sungai Manggis, Banting di sini pagi ini mencetuskan kegemparan dalam kalangan pengguna jalan raya dan penduduk setempat.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan reptilia berkenaan pada jam 9.07 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting digerakkan ke lokasi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, jentera pertama tiba di lokasi kejadian pada jam 9.12 pagi, kira-kira lima minit selepas menerima panggilan.

“Komander operasi melaporkan terdapat seekor buaya yang dianggarkan sepanjang 10 kaki berada di dalam longkang berhampiran jalan raya.

“Operasi menangkap haiwan tersebut sedang dijalankan oleh anggota bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Operasi khas itu diketuai Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Mohd Fazrie Faridzuan Pauzilah bersama lapan anggota bomba membabitkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Hilux.

Menurut Ahmad Mukhlis, lokasi kejadian terletak kira-kira 3.7 kilometer dari BBP Banting.

Jelasnya, operasi menangkap buaya berkenaan masih diteruskan dan tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.

Menurut Ahmad Mukhlis, kehadiran buaya berhampiran kawasan jalan raya itu bagaimanapun menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang awam.

“Ia memandangkan lokasi berkenaan sering digunakan oleh penduduk setempat dan pengguna jalan raya.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menghampiri lokasi kejadian serta memberi ruang kepada pasukan penyelamat menjalankan operasi dengan selamat sehingga reptilia tersebut berjaya ditangkap,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast