Alat talian atas (ATA) yang terputus di KM 458.872 antara Stesen Tiroi – Seremban yang menyebabkan kelewatan perkhidmatan ETS hari ini.

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan kerja-kerja baik pulih susulan kejadian alat talian atas (ATA) terputus di KM 458.872 antara Stesen Tiroi-Seremban telah berjaya diselesaikan dan perkhidmatan tren elektrik (ETS) kini kembali beroperasi.

Bagaimanapun, KTMB dalam satu kenyataan hari ini berkata, beberapa perkhidmatan ETS bagi laluan KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral masih mengalami kesan kelewatan sementara setakat jam 3.30 petang tadi bagi membolehkan jadual operasi kembali distabilkan.

Menurutnya, ia melibatkan perkhidmatan ETS EX9573 yang kini mengalami kelewatan 3 jam 34 minit; EP9524 (2 jam 35 minit); EP9326 (1 jam 40 minit) dan EP9428 (25 minit.

Tambahnya, kelewatan turut melibatkan EP9323 (2 jam 11 minit); EG9343 (1 jam 14 minit); EG9442 (2 jam 51 minit) dan EX9575 (1 jam).

Ujarnya, sebagai langkah kebajikan dan bagi mengurangkan kesulitan yang dialami penumpang, KTMB turut menyediakan makanan dan minuman ringan (refreshment) kepada penumpang yang terlibat bagi perkhidmatan tren yang mengalami kelewatan melebihi dua jam sebagai tanda penghargaan atas kesabaran dan kerjasama mereka sepanjang tempoh gangguan.

“Anggota Polis Bantuan KTMB bersama kakitangan operasi di Stesen Seremban turut membantu mengurus pergerakan penumpang serta menyalurkan maklumat terkini bagi memastikan kelancaran urusan penumpang yang terjejas,” katanya.

Tambahnya, bagi penumpang ETS yang terkesan dengan kelewatan tren melebihi dua jam dan memilih untuk tidak meneruskan perjalanan, mereka boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh di kaunter tiket.

Ujarnya, sejurus gangguan dikenal pasti, KTMB telah menghantar notifikasi awal melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada penumpang yang terlibat bagi memaklumkan status perkhidmatan semasa serta jangkaan kelewatan tren supaya mereka dapat merancang perjalanan dengan lebih baik.

Katanya, KTMB kini sedang memantau rapat pergerakan tren bagi memastikan jadual operasi kembali pulih sepenuhnya dalam kadar segera.

Sehubungan itu, menurutnya, para penumpang dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi KTMB termasuk media sosial rasmi KTMB dan daripada kakitangan stesen yang bertugas.

“KTMB memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama para penumpang sepanjang tempoh gangguan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast