TEHRAN – Amerika Syarikat (AS) dan Iran mencapai persetujuan damai serta bersetuju menamatkan operasi ketenteraan secara serta-merta dan kekal di semua medan konflik termasuk di Lubnan, sekali gus memberi petanda bahawa perang yang berlarutan lebih tiga bulan di Asia Barat bakal berakhir.
Pengumuman awal dibuat oleh Pakistan selaku negara pengantara sebelum disahkan dengan pantas oleh Washington dan Tehran, manakala majlis pemeteraian rasmi dijadual berlangsung pada 19 Jun di Switzerland.
“Perjanjian dengan Republik Islam Iran kini telah dimuktamadkan,” kata Presiden AS, Donald Trump menerusi media sosial sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-80.
Beliau turut mengumumkan pembukaan semula Selat Hormuz tanpa sekatan dan penamatan segera sekatan tentera laut AS.
“Mulai sekarang saya membenarkan pembukaan Selat Hormuz tanpa sebarang tol dan pada masa yang sama mengarahkan sekatan tentera laut Amerika Syarikat ditarik balik serta-merta.
“Kapal-kapal dunia, hidupkan enjin anda. Biarkan minyak mengalir!” katanya.
Tidak lama kemudian, Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi memaklumkan, perjanjian tersebut menamatkan perang antara kedua-dua negara serta-merta dan rundingan lanjut akan diadakan dalam tempoh dua bulan bagi mencapai persetujuan muktamad.
Beberapa jam sebelum itu, Tehran berikrar akan bertindak balas terhadap serangan Israel ke atas sekutunya, Hezbollah, di pinggir Beirut yang dikhuatiri boleh menggagalkan usaha mencapai perjanjian damai.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif kemudian mengumumkan bahawa kedua-dua pihak bersetuju menghentikan operasi ketenteraan secara serta-merta dan berkekalan di semua medan termasuk Lubnan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemimpin Qatar, Arab Saudi dan Turkiye atas sokongan mereka dalam usaha pengantaraan tersebut.
Butiran perjanjian masih belum jelas
Kandungan penuh perjanjian yang dicapai selepas beberapa minggu rundingan tegang dan ancaman baharu daripada Trump sekiranya Iran gagal mencapai persetujuan masih belum diperincikan.
Agensi berita Mehr melaporkan AS dijangka melepaskan aset Iran bernilai AS$12 bilion yang dibekukan sebelum rundingan bermula.
Menurut agensi itu, memorandum persefahaman 14 perkara antara kedua-dua negara turut memperuntukkan pembebasan aset Iran bernilai AS$24 bilion sepanjang tempoh rundingan selama 60 hari selepas memorandum itu ditandatangani.
Pentadbiran Trump bagaimanapun belum mengulas secara rasmi butiran perjanjian berkenaan, yang dijangka menjadi isu sensitif memandangkan AS terus berusaha mengekang program nuklear Iran serta menguruskan stok uranium diperkaya tinggi negara itu.
Pengumuman tersebut disambut baik masyarakat antarabangsa yang berharap konflik itu dapat ditamatkan secara berkekalan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyifatkan perjanjian itu sebagai langkah penting ke arah penyelesaian perang di Asia Barat.
United Kingdom, Perancis, Jerman dan Itali pula menyatakan kesediaan untuk menarik balik sekatan terhadap Iran serta bekerjasama dengan AS, Iran dan rakan serantau bagi memastikan momentum diplomatik dapat dikekalkan.
Pasaran kewangan turut memberi reaksi positif apabila harga minyak merosot lebih empat peratus di Tokyo manakala indeks saham Nikkei Jepun melonjak tiga peratus.
Sekatan di Selat Hormuz sebelum ini memberi kesan besar kepada ekonomi dunia dengan menyebabkan kenaikan harga bahan api, mendorong inflasi di AS dan banyak negara lain serta mengganggu rantaian bekalan pelbagai komoditi termasuk baja yang penting kepada pengeluaran makanan global.
Naib Presiden AS, JD Vance berkata, pembukaan semula laluan itu dijangka menurunkan kos tenaga untuk jangka panjang sekali gus merangsang kemakmuran ekonomi di Asia Barat.
Beliau memaklumkan akan menghadiri majlis pemeteraian perjanjian damai di Geneva dan tidak menolak kemungkinan Trump turut hadir.
Hari Ahad menyaksikan perkembangan yang berubah-ubah apabila Trump pada sebelah pagi menyalahkan Israel kerana didakwa melengahkan pemeteraian perjanjian susulan serangan udara ke atas Beirut.
Dalam temu bual dengan Axios, Trump dilaporkan meluahkan rasa marah terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berhubung tindakan tersebut.
Serangan terakhir Israel ke atas pinggir Beirut sebelum ini hampir menggugat gencatan senjata apabila Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan Israel membalas dengan serangan lanjut.
Tehran sejak sekian lama menegaskan bahawa sebarang perjanjian bagi menamatkan perang mesti turut merangkumi konflik di Lubnan yang menyaksikan Israel melancarkan operasi terhadap Hezbollah yang disokong Iran.
Perang itu bermula pada penghujung Februari apabila AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran sebelum Tehran membalas dengan menyerang Israel, sekutu AS di rantau itu serta menyekat hampir keseluruhan pergerakan kapal di Selat Hormuz, laluan penting bagi bekalan minyak dan gas asli dunia.
AS kemudian bertindak balas dengan mengenakan sekatan terhadap trafik kapal menuju ke pelabuhan Iran.
Sepanjang rundingan berlangsung, kedua-dua pihak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah mengenai kandungan perjanjian, masing-masing cuba menunjukkan mereka berada di pihak yang memperoleh kelebihan daripada konflik tersebut.
Iran sebelum ini berkeras mahu mengekalkan kawalan ke atas Selat Hormuz, namun AS berulang kali menegaskan perkara itu tidak boleh diterima.
Trump berkata laluan laut berkenaan akan dibuka semula sebaik sahaja majlis pemeteraian rasmi di Switzerland selesai. – AF{
















