Azrol Mansor

KUALA LUMPUR – Pihak penganjur dan individu yang menggelarkan Setiusaha Agung DAP, Anthony Loke sebagai “Tok Undang Ke-5” dalam satu majlis pelancaran jentera politik di Negeri Sembilan baru-baru ini dituntut memohon maaf secara terbuka kepada Institusi Undang Yang Empat serta seluruh rakyat Negeri Sembilan.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Azrol Mansor menegaskan, kegagalan berbuat demikian hanya akan mengesahkan bahawa mereka tidak menghormati warisan adat dan kedaulatan institusi Melayu.

Tegasnya, Perkasa menyifatkan gelaran itu sebagai penghinaan terbuka terhadap Institusi Undang Yang Empat serta warisan adat Melayu negeri itu.

“Institusi warisan bangsa bukan milik mana-mana parti politik, tetapi milik seluruh rakyat yang menghargai sejarah, maruah dan kedaulatan tanah air.

“Perkasa tidak akan berdiam diri apabila institusi adat Melayu dipermainkan, dipolitikkan atau dihina secara terbuka. Maruah bangsa dan kedaulatan institusi Melayu wajib dipertahankan tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, dalam kenyataan sama Azrol menegaskan, pihaknya mengecam tindakan seorang pengacara majlis yang menggelarkan Loke sebagai “Tok Undang Ke-5”.

Beliau menjelaskan, kenyataan tersebut bukan sahaja tidak sensitif malah, mencerminkan kegagalan memahami kedudukan dan peranan sebenar Institusi Undang Yang Empat yang menjadi teras kepada sistem Adat Perpatih serta lambang kedaulatan warisan Negeri Sembilan sejak ratusan tahun lalu.

Katanya, gelaran Tok Undang bukanlah gelaran politik yang boleh diberikan sewenang-wenangnya kepada mana-mana pemimpin parti bagi tujuan meningkatkan imej atau meraih sokongan politik.

“Kedudukan Undang Yang Empat mempunyai sejarah, adat dan peranan tersendiri dalam struktur pemerintahan Negeri Sembilan.

“Mengaitkan seorang ahli politik dengan gelaran tersebut secara sewenang-wenangnya adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan memperlihatkan kegagalan memahami sempadan antara politik dan institusi adat Melayu,” ujarnya.

Beliau berkata, Perkasa turut kesal kerana perkara itu berlaku secara terbuka di hadapan khalayak ramai tanpa mengambil kira sensitiviti rakyat Negeri Sembilan yang menjunjung tinggi adat dan tradisi warisan nenek moyang mereka.

Tambahnya, penghormatan terhadap institusi Melayu tidak boleh bersifat bermusim atau hanya ditonjolkan ketika berdepan tekanan politik.

“Jangan hanya melaungkan sokongan kepada Institusi Raja-Raja Melayu dan adat Melayu ketika berdepan tekanan politik, tetapi dalam masa yang sama membiarkan simbol kebesaran Melayu dipersendakan atau dijadikan alat propaganda politik,” katanya.

Menurut Azrol lagi, jika perkara seumpama itu dibiarkan tanpa teguran, ia berpotensi mewujudkan budaya normalisasi penghinaan terhadap institusi adat Melayu.

“Hari ini gelaran Tok Undang dijadikan bahan pujian politik, esok mungkin institusi lain pula akan dipermainkan demi kepentingan parti,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast