JOHOR BAHRU – Polis berjaya menyelesaikan 18 kes curi motosikal sekitar daerah ini selepas menahan 12 ahli Geng Danish dan Geng As termasuk seorang wanita baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, penahanan kesemua suspek berusia antara 23 hingga 38 tahun itu dibuat susulan satu laporan polis dibuat oleh mangsa pada 25 Mei lalu.
“Modus operandi mereka adalah mencuri motosikal dengan cara menunda atau menolak motosikal sebelum menghidupkannya menggunakan kaedah sambung wayar atau looping.
“Motosikal yang dicuri itu ada yang dijual antara RM500 hingga RM1,000, ada yang dilerai dan dijual alat gantinya dan ada yang digunakan untuk melakukan aktiviti jenayah lain,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Raub berkata, bertindak atas maklumat dan risikan yang dijalankan pihaknya menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang dipercayai ahli Geng Danish di sekitar bandar raya ini pada 27 Mei lalu.
Susulan itu, pihaknya menahan empat lagi lelaki berusia antara 24 hingga 38 tahun di sekitar Taman Kota Masai dan Taman Pulai Indah pada awal pagi keesokan harinya.
Polis turut merampas lapan motosikal pelbagai jenis selain topi keledar, pakaian yang dipercayai digunakan semasa melakukan jenayah, telefon bimbit dan kunci motosikal.
“Polis kemudiannya menahan enam lelaki dan seorang wanita ahli Geng As berusia antara 23 hingga 35 tahun di sekitar Tanjung Puteri, Felda Ulu Tebrau, Kempas Lama dan Masai antara 4.30 petang 3 Jun lalu hingga 11.45 malam keesokkan harinya.
“Dalam operasi itu, polis merampas sembilan motosikal, dua rangka motosikal, dua kunci motosikal, satu unit brek lever jenama Brembo, cermin sisi motosikal serta lapan telefon bimbit,” katanya.
Raub berkata, kesemua ahli Geng Danish mempunyai 47 rekod lampau berkaitan jenayah, dadah dan penipuan manakala ahli Geng As pula sebanyak 30 rekod kes sama.
Menurutnya, dengan penahanan kesemua suspek pihaknya berjaya menyelesaikan 18 kes curi motosikal di kawasan pentadbirannya selain IPD Seri Alam, IPD Johor Bahru Utara dan IPD Iskandar Puteri.
Katanya, ujian air kencing mendapati 11 daripada suspek positif dadah jenis methampetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.- MalaysiaGazette
















