Ketua Bersekutu Bersatu Malaysia merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Sanjeevan.

KUALA LUMPUR – Ketua Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Sri Sanjeevan menegaskan Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan secara bersendirian bagi pihak Perikatan Nasional (PN).

Ini termasuk pelantikan Ketua Pembangkang dan penggunaan logo gabungan itu pada pilihan raya.

Beliau berkata, pengumuman yang dibuat di Tanah Merah, Kelantan baru-baru ini hanya boleh dianggap sebagai pendirian Pas dan bukannya keputusan rasmi PN.

“Jika matlamatnya adalah untuk menyatukan, mengapa tindakan yang diambil dilihat semakin memecah-belahkan PN?

“Pengumuman berhubung pelantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang dan cadangan membenarkan parti tertentu bertanding menggunakan logo PN tidak boleh dianggap sebagai keputusan rasmi gabungan ini.

“Semua keputusan penting PN perlu diputuskan secara konsensus menerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi PN seperti yang termaktub dalam perlembagaan gabungan tersebut,” katanya.

Menurut beliau, tiada mana-mana individu boleh bertindak seolah-olah sebagai ‘supreme leader’ kerana jawatan sedemikian tidak wujud dalam struktur PN.

Katanya, Majlis Presiden yang dianggotai presiden parti-parti komponen hanya berperanan sebagai badan penasihat dan bukannya membuat keputusan secara unilateral mengenai sesuatu perkara.

“Tindakan sebegini memberi gambaran bahawa PN sedang berdepan kelemahan kepimpinan dan semangat muafakat yang menjadi asas penubuhan gabungan ini semakin terhakis.

“Bersatu bagaimanapun kekal komited mempertahankan Perikatan Nasional kerana gabungan ini ditubuhkan atas dasar perpaduan dan kesepakatan antara parti-parti komponen demi kepentingan rakyat,” tegasnya.

Sabtu lepas, Abdul Hadi ketika berucap pada Konvensyen Reset 2026 di Tanah Merah mengumumkan Hamzah dikekalkan sebagai Ketua Pembangkang.

Beliau turut memberi bayangan bahawa parti-parti komponen dalam gabungan pembangkang itu boleh menggunakan logo PN pada pilihan raya akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast