Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir. MUHAIMIN MARWAN, 14 MEI 2026.

PUTRAJAYA – Kerajaan mengunjurkan kadar inflasi pada tahun ini dengan purata antara 1.5 peratus dan 2.5 peratus agar ia tidak memberi kesan ketara kepada renjatan kepada keadaan ekonomi negara.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir memberitahu, purata unjuran itu dilihat sesuai supaya pergerakan inflasi itu kekal dalam ruang lingkup yang boleh dihadapi kerajaan.

Jelas beliau, pelbagai intervensi sedang dilaksanakan untuk mengawal keadaan dalam usaha tidak memberi kesan yang terlampau ketara kepada kehidupan masyarakat di luar.

“Jadi sebab itu kalau tengok pun memang itulah intervensi yang sedang berlaku. Maksudnya bagaimana kaedah penyaluran subsidi bahan api, bagaimana juga kita menilai dari segi mengekang dan mengawal kos logistik melalui SKDS (Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi).

“Juga kita lihat bagaimana di peringkat memastikan kelangsungan perniagaan peniaga-peniaga kecil, kita sediakan juga aliran tunai melalui SJPP (Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan) atau pun Bank Negara yang peruntukan RM5 bilion tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di Menara Prisma, Kementerian Ekonomi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah menambah,  kerajaan setakat ini berjaya kekalkan inflasi pada kadar sekitar 1.9 peratus untuk rekod cerapan yang paling akhir namun menyedari tekanan itu akan terus memberi kesan kepada keadaan inflasi.

“Tetapi ‘range’ (julat) untuk tahun ini yang kita selesa, yang kita unjurkan untuk tahun 2024 adalah inflasi itu berlaku antara 1.5 hingga 2.5 peratus.

“Jadi ini adalah sasaran kita supaya pergerakan inflasi itu kekal dalam ruang lingkup yang boleh kita hadapi supaya ia tidak memberi kesan renjatan kepada keadaan ekonomi,” katanya.

Bulan lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, inflasi negara diunjur meningkat secara sederhana pada tahun ini dengan purata antara 1.5 peratus dan 2.5 peratus, dipengaruhi peningkatan kos global termasuk harga komoditi dan tenaga.

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour memberitahu, inflasi keseluruhan pada suku pertama 2026 meningkat kepada 1.6 peratus berbanding 1.3 peratus pada suku sebelumnya.

Menurutnya, kenaikan harga bahan api termasuk RON97 dan diesel serta caj elektrik menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan inflasi.

“Beberapa sektor mungkin lebih terdedah kepada kenaikan kos berkaitan komoditi, namun tahap dan kadar pemindahan kos kepada inflasi keseluruhan bergantung kepada tingkah laku penetapan harga oleh syarikat serta keadaan permintaan semasa termasuk langkah dasar kerajaan,” katanya pada sidang media prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Suku Pertama 2026. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast