Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bercakap pada sidang media selepas selesai menyampaikan perutusan pada Mesyuarat Agung Tahunan MKJR Malaysia Ke-62 serta mengumumkan peruntukan RM30,000 kepada setiap MKJR negeri di Hotel Sama-Sama KLIA, Sepang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 Jun 2026.

SEPANG – Penubuhan Lembaga Siasatan Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) masih berada di landasan yang dirancang walaupun Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan belum sempat dibentangkan pada sidang Parlimen kali ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, cadangan penubuhan badan siasatan bebas itu telah mendapat persetujuan Kabinet dan kini berada pada peringkat penyelarasan perjawatan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Keutamaan sidang Parlimen kali ini diberikan kepada pindaan Akta Pengangkutan Jalan sebelum RUU MTSB dibentangkan pada sesi berikutnya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-62 MKJR di Hotel Sama-Sama KLIA hari ini.

Beliau juga berkata, walaupun MTSB belum diwujudkan secara rasmi, pihaknya komited menyiasat punca kemalangan melibatkan sektor pengangkutan darat, rel dan udara jika memerlukan.

“Walaupun MTSB belum ditubuhkan secara rasmi, kerajaan tetap menjalankan siasatan bebas bagi insiden atau kemalangan besar melalui jawatankuasa khas yang ditubuhkan,” katanya.

Jelasnya, kepakaran sedia ada dalam Bahagian Siasatan Kemalangan Udara turut digunakan secara ad hoc bagi membantu siasatan melibatkan sektor pengangkutan lain.

“Penubuhan MTSB akan memformalkan struktur siasatan keselamatan negara dan memperkukuhkan usaha mengenal pasti punca sebenar sesuatu kemalangan bagi tujuan penambahbaikan sistem keselamatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast