Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh melakukan gimik perasmian Majlis Pecah Tanah Perumahan Kekal Bagi Penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara di Taman Rimba Kiara, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penyelesaian isu perumahan melibatkan penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara di sini sebagai satu peristiwa bersejarah yang membuktikan golongan miskin bandar mampu mempertahankan hak mereka melalui proses perundangan yang sah.

Menurut beliau, meskipun projek berkenaan tidak besar daripada segi skala pembangunan, impaknya amat besar daripada sudut sejarah.

Ia kerana jarang berlaku di mana-mana negara apabila komuniti miskin bandar yang berdepan tekanan pembangunan dan isu perumahan berjaya memperoleh keadilan melalui saluran undang-undang, katanya.

“Ini bukan projek besar tetapi kesannya dari segi sejarah sangat besar. Di mana-mana negara, kelompok miskin bandar yang berhadapan tekanan perumahan dan pembangunan selalunya tidak pernah menang. Alhamdulillah, di sini saudara-saudara menang kerana mempertahankan hak mengikut undang-undang” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Perumahan Kekal Bagi Penduduk Rumah Panjang Bukit Bukit Kiara hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh; Menteri Sumber Manusia, R. Ramanan, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kerajaan menghormati sepenuhnya proses perundangan yang telah dilalui sebelum mengambil langkah menyelesaikan isu tersebut selepas keputusan mahkamah dibuat.

“Sebelum ini, saya tidak berani campur tangan kerana menunggu proses undang-undang selesai. Apabila keputusan dibuat, kita perlu hormati keputusan itu dan mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Kita teliti masalah penduduk, janji-janji lama dan perjanjian yang telah dibuat sebelum ini sehingga akhirnya penyelesaian dapat dicapai,” ujar beliau.

Beliau turut mengakui penderitaan yang dilalui penduduk yang telah menetap di rumah panjang tersebut selama puluhan tahun sambil menegaskan, penyelesaian yang dicapai adalah berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang, kebajikan rakyat dan keadilan.

“Orang miskin tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Kita mahu memberikan penyelesaian yang adil. Mudah-mudahan semua negeri dan bandar di negara ini dapat mengambil iktibar daripada pengalaman ini,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan, kes tersebut tidak boleh dijadikan contoh oleh mana-mana pihak untuk menduduki tanah secara haram dan kemudian menuntut hak pemilikan.

“Ini bukan kes orang datang menceroboh tanah dan kemudian menuntut hak. Penduduk di sini telah menunggu lama dan mempunyai perjanjian dengan pemaju.

“Mereka mengikuti proses undang-undang dan hakim telah meneliti semua aspek sebelum membuat keputusan,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, kejayaan itu membuktikan Kerajaan Madani komited melindungi hak semua rakyat tanpa mengira kaum.

“Orang miskin ini tidak kira Melayu, Cina atau India, hak mereka mesti dipelihara. Inilah Kerajaan Madani, kita berlaku adil kepada semua,” katanya.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Hannah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta penjawat awam yang memainkan peranan penting dalam menjayakan penyelesaian tersebut.

Katanya, kerjasama semua pihak amat penting kerana dalam kebanyakan pertikaian melibatkan pembangunan, golongan miskin sering berada dalam kedudukan yang lemah berbanding pihak berkepentingan yang mempunyai pengaruh dan sumber yang besar.

“Selalunya dalam pertarungan seperti ini orang miskin memang kalah. Apabila melibatkan golongan kaya, lobi mereka sangat kuat tetapi apabila melibatkan golongan miskin, suara mereka sering tidak didengari,” katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri mengumumkan pemberian subsidi sebanyak RM1 juta sebagai inisiatif penyelenggaraan selama tempoh tiga tahun untuk urus perumahan baharu penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara serta bagi meringankan beban mereka. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast