Anwar berucap dalam ceramah umum di kawasan parking Restoran Yin Nan, Bukit Bakri Muar malam ini.

MUAR – Pakatan Harapan (PH) perlu menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya perubahan dapat dilakukan.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, apabila kerajaan negeri dan pusat sama, pelbagai lagi kemajuan dapat dibawakan untuk rakyat Johor.

“Sebab itu saya kata, PH mesti menang di Johor supaya kita boleh bawa perubahan di negeri Johor. Projek besar Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), itu kita (Kerajaan Persekutuan yang) runding… Pelabuhan Tanjung Pelepas (kita) besarkan.

“Saya tak kata kerajaan Johor tak tolong, dia tolong. Tapi siapa buat? Kita buat. Jadi saya mahu negeri Johor wakil dan negeri tukar dasar. Projek jangan bimbang, saya jaga… Saya mahu kerajaan negeri, wakil negeri, exco negeri, jaga rakyat di bawah,” katanya yang juga Perdana Menteri.

Beliau berkata demikan ketika berucap dalam ceramah umum di kawasan parking Restoran Yin Nan, Bukit Bakri di sini malam ini.

Justeru Anwar menyeru pengundi Johor termasuk mereka yang berada di luar negeri dan Singapura, agar pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRN akan datang demi masa depan negeri.

Menurutnya, setiap undi amat berharga dalam membawa perubahan dasar yang bermakna bagi memastikan kemakmuran ekonomi dan kebajikan rakyat di peringkat akar umbi dapat diperjuangkan bersama-sama.

Tambah beliau, pentadbirannya tidak melakukan inisiatif menyantuni rakyat semata-mata kerana bakal berdepan pilihan raya, sebaliknya usaha itu dibuat sejurus PH memenangi pilihan raya.

“Kita ambil tahu masalah rakyat, bukan tunggu waktu mahu adakan pilihan raya sahaja. Masa saya laksana Sumbangan Tunai Rahmah (STR) lepas menang pilihan raya kerana orang susah tiada duit mahu beli susu anak tidak boleh tunggu.

“Bantuan juga dimasukkan terus ke dalam akaun, tidak perlu beratur berjam-jam. Ini saya memang tidak suka, orang ramai termasuk warga emas kena beratur untuk dapatkan bantuan. Jika 50 tahun dahulu mungkin boleh begitu,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan segelintir pemimpin politik yang masih memainkan sentimen kebencian antara kaum untuk meraih undi dan sokongan golongan tertentu.

“Kalau kita sama-sama berpakat, kita sama-sama akan meraih keuntungan. Jangan ikut kata ahli politik yang pergi tempat Melayu tetapi marah-marah orang Cina. Ingat mereka betul-betul tolong orang Melayu ke, mereka kayakan diri sendiri dahulu.

“Hendak berpolitik jangan gunakan sentimen kebencian, sebaliknya fikirkan apa yang hendak dibuat dengan negara, fikir masa depan bukan isu Melayu, Cina, India, kuil. Kalau berpolitik hari-hari gaduh, bila negara akan maju.

“Oleh itu marilah kita sama-sama membangunkan negara ini, rakyat Johor diluar negeri, di Singapura baliklah mengundi. Setiap undi itu penting, jangan pandang ringan kerana kita mahu bawa perubahan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast