KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) menafikan dakwaan bekas pemain bola sepak kebangsaan Azlan Johar direhatkan daripada menjadi pengulas siaran Piala Dunia 2026 susulan penyertaannya dalam Pas pada Sabtu lalu.
Memetik laporan FMT, Ketua Pengarah Penyiaran Ashwad Ismail berkata, dakwaan itu adalah tidak berasas.
Menurutnya, Azlan masih diberi ruang muncul dalam siaran rasmi RTM sempena temasya bola sepak dunia berkenaan iaitu bagi perlawanan Brazil menentang Maghribi semalam.
“Pengumuman Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan pada 13 Jun lalu menyatakan Azlan menyertai Pas namun semalam beliau muncul mengulas perlawanan Brazil menentang Maghribi.
“RTM sendiri yang menjemput Azlan menjadi pengulas bagi perlawanan tersebut,” katanya kepada FMT.
Pas hari ini mahu penjelasan diberikan susulan laporan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azlan Johar direhatkan daripada tugas sebagai pengulas sukan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi siaran pertandingan Piala Dunia 2026.
Takiyuddin berkata, parti itu mahu mengetahui sama ada tindakan berkenaan mempunyai kaitan dengan penyertaan Azlan ke dalam Pas yang diumumkan dalam satu program di Seremban pada 13 Jun lalu
Mengulas lanjut, Ashwad turut menjelaskan, tiada kontrak tetap yang mengikat Azlan untuk mengulas semua 104 perlawanan Piala Dunia 2026.
“RTM berhak menjemput pengulas jemputan lain sepanjang kejohanan berlangsung. Ia juga hak individu lain untuk tampil sebagai pengulas jemputan bagi edisi Piala Dunia kali ini,” katanya.
Ashwad mengulas persoalan dibangkitkan Takiyuddin sama ada tindakan merehatkan Azlan sebagai pengulas sukan RTM bagi liputan Piala Dunia 2026 mempunyai kaitan dengan penyertaannya dalam parti itu. – MalaysiaGazette
















