Kawasan pemuliharaan terumbu karang yang musnah akibat aktiviti bom ikan. Foto: FB Selakan Marine Conservation Group

Oleh: Ismail Hashim Yahaya

SAMBUTAN Hari Lautan Sedunia pada 8 Jun baru-baru ini berlalu seumpama debuan pasir yang ditiup angin sepi—sunyi, dingin, dan tenggelam dalam kebingitan arus perdana. Malah tiada laporan kesedaran mengenai kepentingan laut dan sumber makanan rakyat.

Ruang media harian kita telah dipenuhi dengan sengketa kuasa, kontroversi domestik, dan retorik politik tempatan yang tidak pernah kunjung padam. Di media sosial pula, algoritma kekal membisu; garis masa langsung tidak menyentuh tentang nasib lautan, seolah-olah hamparan biru yang meliputi 70 peratus planet bumi ini tiada kena-mengena dengan nafas harian kita.

Kita sering lupa, di sebalik kedinginan respons manusia, sebuah tragedi geopolitik berskala besar sedang membakar maruah samudra di luar sana, merobek keamanan rantaian bekalan, dan mengancam kelangsungan kepelbagaian biologi marin yang menjadi nadi kehidupan global.

Tema global Hari Lautan Sedunia tahun ini, Reimagine: Beyond the World We Know, A New Relationship with Our Ocean menuntut umat manusia untuk mengubah paradigma secara drastik. Ia adalah satu seruan untuk kita menilai semula
lautan bukan sekadar sebagai takungan sumber alam yang boleh dieksploitasi sesuka hati tetapi sebagai satu tanggungjawab penjagaan bersama yang merentasi sempadan geopolitik.

Namun realiti hari ini membuktikan sebaliknya. Di kala masyarakat alpa dan hanyut dalam kepompong domestik, lautan dunia bukan sahaja terus dicemari oleh sisa buangan kimia malah kini sedang diheret secara paksa menjadi proksi serta mangsa utama dalam papan catur perang kuasa gergasi global.

Naratif ancaman ini bermula dari wilayah bergolak di Asia Barat. Ketegangan ketenteraan yang kian meruncing membabitkan Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel telah membawa kepada pengisytiharan rasmi penutupan Selat Hormuz oleh pihak Tehran. Selat strategik ini bukanlah laluan biasa; ia merupakan arteri utama yang mengalirkan hampir satu perlima daripada keseluruhan bekalan minyak mentah dunia.

Apabila pintu gerbang ini disekat, impak ekonominya serta-merta menghantar gelombang kejutan ke seluruh dunia, memaksa sektor perkapalan antarabangsa mencari alternatif bagi mengelakkan zon perimeter perang. Kesan rantaian daripada penutupan Selat Hormuz ini melahirkan sebuah fenomena maritim yang sangat berbahaya iaitu kemunculan ‘dark fleet’ atau armada kapal hantu.Kapal-kapal tangki ini kebanyakannya sudah berusia, tidak mempunyai insurans maritim yang sah dan sengaja mematikan transponder sistem pengenalan automatik demi mengelak sekatan antarabangsa.

Perairan Asia Tenggara, khususnya Selat Melaka, kini dikesan menjadi lubuk baharu bagi aktiviti armada hantu ini. Mereka melakukan pemindahan minyak secara haram dari kapal ke kapal (ship-to-ship transfer) di tengah lautan luas pada waktu malam tanpa sebarang kawalan keselamatan alam sekitar.

Bagi Malaysia, ini adalah ancaman keselamatan maritim yang sangat nyata. Peningkatan trafik luar biasa ini bukan sahaja meningkatkan risiko pelanggaran di salah satu selat tersibuk di dunia, malah satu kesilapan kecil dalam kegelapan malam mampu melepaskan jutaan gelen sisa hitam toksik ke dalam perairan negara kita, yang akan melumpuhkan industri perikanan tempatan serta-merta.

Apabila sisa minyak mentah daripada ‘dark flee’ atau kapal tangki yang menjadi mangsa serangan geopolitik bocor ke lautan, ia mencetuskan malapetaka ekologi berskala besar yang merosakkan struktur kepelbagaian biologi marin dari peringkat mikroskopik sehinggalah kepada mamalia gergasi.

Tumpahan minyak membentuk lapisan tebal di permukaan air laut yang bertindak bagai perisai, menghalang penembusan sinaran matahari dan menyekat pertukaran gas oksigen. Akibatnya, fitoplankton—mikroorganisma laut yang bertanggungjawab menjana lebih 50 peratus bekalan oksigen planet ini—akan mati secara besar-besaran.

Apabila pengeluar utama ini pupus, keseluruhan rantaian makanan laut akan runtuh akibat kebuluran.Bagi ekosistem pesisir Malaysia, ancaman ini menyerang nadi biodiversiti kita sendiri. Selat Melaka dan sebahagian perairan Laut China Selatan dikelilingi oleh ekosistem hutan paya bakau yang amat kaya, berfungsi sebagai zon peneluran dan "tadika semula jadi" bagi pelbagai spesies ikan, ketam, udang, dan kerang.

Sisa minyak mentah yang dibawa arus akan melekat dan menyumbat liang pernafasan akar pokok bakau, menyebabkan kematian hutan bakau secara besar-besaran. Kehilangan ini bermakna hidupan marin kehilangan tempat perlindungan untuk membiak. Lebih parah lagi, minyak mentah mengandungi sebatian hidrokarbon aromatik polisiklik yang sangat toksik.

Komponen kimia ini larut ke dalam air dan diserap oleh telur ikan serta larva udang, mencetuskan mutasi genetik, kecacatan fizikal, atau kematian awal pada peringkat embrio. Para pakar strategi maritim dan penganalisis keselamatan antarabangsa memberi amaran keras bahawa pergolakan bersenjata di Asia Barat hari ini sebenarnya hanyalah sebuah latihan awal sebelum meletusnya konflik berskala penuh di wilayah Pasifik, terutamanya di Laut China Selatan.

Malaysia berada tepat di tengah-tengah garisan geopolitik ini. China menghadapi apa yang dipanggil sebagai “Dilema Melaka” kerana mereka amat bergantung kepada Selat Melaka untuk mengimport keperluan tenaga dan minyak mereka. Sekiranya sekatan ketenteraan dilakukan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya di Selat Melaka, Beijing berkemungkinan besar bertindak balas secara agresif demi survival negara mereka.

Apabila konflik bersenjata meletus di Laut China Selatan, medannya adalah di atas dada samudra yang menampung Segitiga Terumbu Karang, iaitu pusat kepelbagaian biologi marin yang paling kaya dan padat di dunia. Penggunaan teknologi ketenteraan moden, seperti sistem sonar aktif berkuasa tinggi oleh kapal selam dan kapal pemusnah tentera laut, menghasilkan gelombang akustik yang merosakkan organ pendengaran dalaman serta mengganggu sistem navigasi suara mamalia laut seperti ikan paus dan lumba-lumba umpamanya.

Tambahan pula, setiap peluru berpandu yang meletup dan kapal perang yang karam akan melepaskan logam berat berbahaya seperti plumbum, merkuri dan kadmium ke dasar laut. Melalui proses bioakumulasi, toksin ini diserap oleh hidupan laut dan akhirnya terkumpul pada ikan komersial yang ditangkap untuk pasaran tempatan, mewujudkan ancaman kesihatan kronik kepada rakyat Malaysia yang memakannya.

Impak kemusnahan ekosistem marin akibat perang dan tumpahan minyak ini bukan sekadar subjek kajian sains bahkan ia adalah ancaman langsung kepada jaminan bekalan makanan negara kita. Sektor perikanan di Malaysia menyumbang sebahagian besar daripada sumber protein harian rakyat dan menyara ratusan ribu komuniti nelayan tradisi di sepanjang pesisir pantai.

Sekiranya lautan kita lumpuh akibat pencemaran sisa perang, harga sumber makanan laut akan melambung tinggi, dan rantaian ekonomi luar bandar akan runtuh. Namun, mengapakah isu yang sebegini kritikal langsung tidak mendapat tempat dalam ruang perbincangan masyarakat? Jawapannya terletak pada manipulasi algoritma media sosial yang hanya mengutamakan kandungan bersifat sensasi atau kontroversi pendek bagi mengekalkan perhatian pengguna.

Isu pemuliharaan lautan dianggap tidak menjana klik yang tinggi, menyebabkan kandungan amaran alam sekitar ditenggelamkan ke dasar digital. Bagi memecahkan kebisuan algoritma ini, Malaysia memerlukan kempen kesedaran digital yang kreatif menggunakan pendekatan naratif visual bagi memaksa algoritma mengangkat semula isu maritim ke garis masa masyarakat.Di sinilah makna ‘Reimagine’ sepatutnya berfungsi sebagai kompas tindakan negara.

Di bawah instrumen antarabangsa seperti Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS), Malaysia mempunyai hak berdaulat dan tanggungjawab undang-undang untuk memelihara dan melindungi alam sekitar
marin di dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara yang merangkumi kawasan seluas 556,000 kilometer persegi.

Kita tidak boleh lagi bersikap berkecuali yang pasif.Perspektif pertahanan Malaysia mesti diperkukuh melalui pemerkasaan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Rondaan bersepadu dan pengawasan satelit mesti ditingkatkan bagi mengesan kehadiran ‘dark fleet’ serta menyekat sebarang cubaan pembuangan sisa toksik ketenteraan asing di perairan negara.

Malaysia juga perlu menggunakan pengaruh diplomasi maritimnya di peringkat ASEAN untuk mendesak agar Selat Melaka dan Laut China Selatan dikekalkan sebagai zon aman yang bebas daripada proksi ujian senjata dan konflik kuasa besar.

Sudah tiba masanya kita mengejutkan kesedaran kolektif yang sedang lena. Dalam hubungan ini perjuangan Malaysia bukanlah sekadar menyelamatkan hidupan di bawah air, melainkan sebuah perjuangan mutlak demi memastikan survival, kedaulatan dan masa depan jaminan makanan seluruh anak bangsa.

Ismail Hashim Yahaya

Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa dan mengulas perkembangabn isu semasa daripada perspektif semiotik dan naratif.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast