Komander Briged Tengah PGA, SAC Hakemal Hawari bercakap pada sidang media mengenai Op Taring Delta (Atipsom) pada sidang media di Mess Pegawai Kanan Briged Tengah PGA Cheras, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 Jun 2026.

CHERAS – Pasukan Task Force Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menahan 35 individu dalam satu serbuan yang dijalankan kira-kira jam 5 pagi di Kampung Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, Selangor pada 10 Jun lalu.

Komander Briged Tengah PGA, SAC Hakemal Hawari berkata, tangkapan itu melibatkan tujuh lelaki tempatan yang berperanan sebagai tekong darat dan transporter serta 28 warga Indonesia yang merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Gambar wajah suspek yang ditahan serta barang rampasan dalam Op Taring Delta (Atipsom) pada sidang media di Mess Pegawai Kanan Briged Tengah PGA Cheras, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 Jun 2026.

Menurut beliau, kumpulan PATI yang ditahan terdiri daripada 24 lelaki dan empat wanita berusia antara 20 hingga 50 tahun.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Briged Tengah PGA, Cheras hari ini.

Dalam operasi berkenaan, pihaknya turut merampas tujuh kenderaan pelbagai jenis melibatkan enam kereta dan sebuah motosikal selain tujuh unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyeludupan.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM360,000 manakala kes disiasat mengikut Seksyen 26A ATIPSOM 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Hakemal berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, anggaran bayaran bagi setiap PATI adalah antara RM1,500 hingga RM2,000.

Untuk rekod, Task Force Briged Tengah PGA telah melaksanakan 11 serbuan melibatkan 22 kes bermula 1 Januari hingga 15 Jun tahun ini dengan tangkapan seramai 247 individu serta nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM1.5 juta.

Komander Briged Tengah PGA, SAC Hakemal Hawari (kiri) menunjukkan maklumat ringkas mengenai Op Taring Delta (Atipsom) pada sidang media di Mess Pegawai Kanan Briged Tengah PGA Cheras, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 Jun 2026.

Dalam tempoh sama, Briged Tengah PGA turut melaksanakan 187 serbuan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor yang menyaksikan tangkapan 662 individu serta rampasan bernilai RM257 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast