Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dua anggota tentera yang terkorban selepas terkena letupan bom ketika menjalani latihan di lapang sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah, hari ini.

Seri Paduka Baginda berharap ahli keluarga mangsa diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi detik yang sukar susulan tragedi tersebut.

“Al-Fatihah buat dua anggota yang terkorban dalam tragedi ini. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim, selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), turut menitahkan agar satu siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Baginda juga menegaskan supaya aspek keselamatan dalam setiap latihan dan operasi ketenteraan sentiasa diberi perhatian serius serta diperkukuhkan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu daripada berulang.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan Koperal Norazmi Abu Bakar dan Prebet Siti Khadijah Sungip meninggal dunia akibat letupan semasa latihan membaling grenad dalam Latihan Platun Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia yang dilaksanakan di Kem Hobart, Gurun, Kedah, kira-kira 10.57 pagi, hari ini.

Norazmi dari 6 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Siti Khadijah dari 1 Skuadron RAJD mengalami kecederaan akibat letupan itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. – MalaysiaGazette

Dua askar maut ketika latihan baling grenad, PTD arah siasatan terperinci

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast