Tan Sri M Mahadevan

KUALA LUMPUR – Tan Sri Dr M. Mahadevan, tokoh perubatan yang disifatkan sebagai ‘Bapa Psikiatri Moden’ negara, meninggal dunia pada usia 96 tahun hari ini.

Mendiang yang juga pengasas dan Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia meninggalkan legasi besar dalam pembangunan sistem kesihatan mental negara sepanjang lebih enam dekad penglibatannya dalam bidang berkenaan.

Beliau sebelum ini pernah menyandang jawatan Ketua Pakar Psikiatri Kerajaan dan menjadi antara individu terpenting yang membentuk landskap perkhidmatan kesihatan mental moden di Malaysia.

Dilahirkan pada 9 September 1929, Mahadevan mendapat pendidikan awal di St John’s Institution, Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Bangalore, India dan menamatkan pengajiannya pada 1961.

Selepas itu, beliau meneruskan kerjaya profesional di Ireland apabila dijemput berkhidmat bersama Profesor Psikiatri, John Dunne di University College Dublin.

Sepanjang berada di sana, beliau memperluaskan kepakarannya dalam bidang psikiatri, termasuk menjalankan kajian dan pembangunan berkaitan hipnosis klinikal.

Sumbangannya turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila Universiti Harvard menamakan sebuah program biasiswa perjalanan (travelling fellowship) sempena nama beliau.

Beliau juga mencatat sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama yang dipilih menerajui cawangan Asia bagi International College of Psychosomatic Medicine.

Antara pencapaian paling signifikan beliau ialah apabila dilantik sebagai pengarah pertama hospital mental di Tanjung Rambutan, Perak.

Ketika memimpin institusi berkenaan, beliau memperkenalkan pendekatan rawatan yang lebih berperikemanusiaan dengan menjenamakan semula hospital itu sebagai Hospital Bahagia Ulu Kinta, mengubah persepsi masyarakat terhadap penjagaan kesihatan mental.

Orang ramai yang ingin memberikan penghormatan terakhir boleh berbuat demikian di kediaman keluarga di No. 32, Lorong Lee Hin Neo 1, Ukay Heights, Kuala Lumpur, dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari serta 3 petang hingga 6 petang hari ini dan esok.

Upacara pengebumian akan berlangsung pada Khamis, jam 9.30 pagi di lokasi sama sebelum jenazah dibawa ke Krematorium Hindu Sentul pada jam 12 tengah hari. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast