Zamzam Zulaikha Abu Shah

KUANTAN – Saya tidak lahir dalam keluarga yang berada. Saya sendiri datang daripada keluarga yang susah.

Itu kata pempengaruh media sosial, Zamzam Zulaikha Abu Shah yang menafikan dakwaan beliau berniat mempelekeh golongan berpendapatan rendah.

Beliau sekali gus membuat penjelasan terbuka berhubung kontroversi yang mengaitkan dirinya dengan dakwaan menghina golongan B40 serta tindak balas kasarnya terhadap beberapa pengguna media sosial baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan dan sidang media yang diadakan hari ini, wanita berusia 40 tahun itu mengakui terdapat beberapa komen yang dibalasnya dengan bahasa yang tidak sepatutnya susulan video yang dimuat naik ketika menunggang motosikal di Cameron Highlands.

Pemilik Opah Strawberries itu berkata, tindakan tersebut merupakan kesilapan yang diakui sepenuhnya dan telah mengambil langkah memohon maaf secara peribadi kepada individu-individu yang terlibat.

“Saya mengakui balasan tersebut tidak sepatutnya ditulis sedemikian rupa dan saya bertanggungjawab sepenuhnya atas cara saya membalas komen-komen tersebut.

“Saya juga telah menghubungi akaun-akaun yang terlibat melalui DM di Threads dan TikTok bagi menyampaikan permohonan maaf secara peribadi,” katanya.

Menurut beliau, sebahagian mesej yang dihantar masih berada dalam ruangan Message Request dan belum dibuka oleh penerima.

Dalam masa sama, Zamzam Zulaikha turut menjelaskan, video asal yang dirakam ketika berada di atas motosikal adalah berkaitan keadaan lalu lintas di Cameron Highlands bukan bertujuan menimbulkan sebarang kontroversi.

VIDEO BERKAITAN 

Mengulas dakwaan beliau menghina golongan B40, Zamzam Zulaikha menegaskan, kenyataan yang tular di media sosial telah disalah tafsir sehingga membawa kepada persepsi yang tidak tepat terhadap dirinya.

Beliau menjelaskan istilah “bangsa-bangsa yang masuk” yang disebut ketika sesi siaran langsung merujuk kepada akaun-akaun luar negara yang sering memasuki sesi live dan mengambil Treasure Coin atau Treasure Box yang disediakan untuk pengikutnya.

“Dalam live tersebut saya merujuk kepada akaun-akaun dari luar negara seperti Vietnam dan Thailand yang sering masuk dan mengambil ganjaran yang disediakan kepada pengikut saya.

“Perkara ini telah beberapa kali berlaku sehingga menyebabkan pengikut-pengikut saya sendiri sukar mendapatkan hadiah yang saya sediakan,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, terdapat juga akaun tertentu yang menggunakan ruang siaran langsung untuk mempromosikan kandungan tidak bermoral termasuk kandungan lucah yang disifatkan boleh memberi pengaruh negatif kepada golongan muda.

Beliau mendakwa sebahagian rakaman yang tersebar di media sosial telah dipotong dan dimanipulasi sehingga mengaitkan kenyataannya dengan golongan B40 walaupun perkara tersebut tidak pernah disebut atau dirujuk olehnya.

Bagi mengelak salah faham berterusan, beliau berkata, rakaman penuh sesi live berkenaan akan dikongsikan kepada umum bagi memberikan gambaran sebenar konteks kenyataan yang dibuat.

“Jadi, saya tidak pernah berniat untuk menghina, merendahkan atau memperlekehkan golongan B40 kerana itu bukan maksud sebenar kenyataan yang saya sampaikan ketika itu,” katanya.

Beliau menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tuduhan berat yang bukan sahaja menjejaskan reputasinya malah memberi kesan kepada keluarga serta perniagaan yang diusahakan.

“Saya mohon maaf kepada sesiapa yang tersinggung dengan kata-kata atau tindakan saya. Yang baik datang daripada Allah SWT dan segala kelemahan itu datang daripada diri saya sendiri,” katanya.

Beliau berharap penjelasan tersebut dapat membantu menjernihkan keadaan dan membolehkan dirinya kembali memberi fokus kepada keluarga, pekerja, pelanggan serta perniagaan yang diusahakan.

Terdahulu beliau yang mesra disapa Kak Ika terpalit dengan dakwaan menghina golongan B40 ketika bersiaran langsung selain menggunakan perkataan kasar selepas ia mula tular di laman sosial media sejak 2 Jun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast