Ong Siang Liang.

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mencadangkan agar kerajaan melaksanakan projek perintis terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mewajibkan pemasangan kamera papan pemuka (dashcam) dalam semua kenderaan e-hailing.

Ia bagi menilai keberkesanan, cabaran pelaksanaan serta tahap penerimaan dalam kalangan pemandu dan pengguna, kata Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Kebajikan Gerakan, Ong Siang Liang.

Beliau berkata, cadangan itu dibuat susulan saranan pengendali perkhidmatan e-hailing supaya pemasangan dashcam diwajibkan berikutan beberapa insiden melibatkan keselamatan pemandu sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, Gerakan berpandangan keselamatan pemandu dan penumpang perlu sentiasa menjadi keutamaan memandangkan perkhidmatan e-hailing kini menjadi sebahagian penting daripada sistem pengangkutan awam negara.

“Sebarang usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan dalam sektor e-hailing wajar diberikan perhatian serius, namun pelaksanaan mandatori dashcam memerlukan penelitian menyeluruh kerana ia melibatkan keseimbangan antara aspek keselamatan, hak privasi penumpang dan kos pematuhan yang perlu ditanggung pemandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penggunaan dashcam berpotensi membantu menyelesaikan pertikaian antara pemandu dan penumpang, meningkatkan akauntabiliti semua pihak serta bertindak sebagai mekanisme pencegahan terhadap jenayah dan gangguan.

Katanya, rakaman video yang diperoleh juga boleh menjadi bukti penting dalam membantu siasatan pihak berkuasa sekiranya berlaku insiden tidak diingini.

Bagaimanapun beliau menegaskan, isu privasi tidak boleh dipandang ringan dan kerajaan perlu memastikan sebarang dasar yang diperkenalkan mengambil kira aspek persetujuan penumpang, kaedah penyimpanan rakaman, tempoh penyimpanan data serta pihak yang dibenarkan mengakses rakaman berkenaan.

“Tanpa garis panduan yang jelas, pelaksanaan dashcam secara mandatori berisiko menimbulkan kebimbangan terhadap perlindungan data peribadi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ramai pemandu e-hailing bergantung kepada pekerjaan tersebut sebagai sumber pendapatan sampingan atau sepenuh masa.

Justeru sebarang keperluan baharu yang melibatkan pembelian dan penyelenggaraan peralatan tambahan akan meningkatkan kos operasi mereka.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan dan syarikat e-hailing perlu mempertimbangkan bentuk bantuan yang bersesuaian seperti insentif, potongan cukai atau skim subsidi sekiranya pemasangan dashcam diwajibkan pada masa hadapan.

Beliau turut menggesa kerajaan mengadakan sesi libat urus menyeluruh bersama syarikat e-hailing, persatuan pemandu, kumpulan penumpang, pakar keselamatan serta pakar perlindungan data bagi memastikan sebarang keputusan yang dibuat mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.

Menurutnya, kerajaan juga perlu membangunkan garis panduan perlindungan data yang standard dan jelas bagi memastikan rakaman yang diperoleh digunakan secara bertanggungjawab serta tidak disalahgunakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast