New Delhi – India menyekat akses kepada aplikasi pemesejan Telegram bermula hari ini menjelang ujian ulangan peperiksaan kemasukan kolej perubatan di seluruh negara susulan skandal kebocoran kertas soalan bulan lalu.
Kontroversi yang menjejaskan peperiksaan berprestij itu, selain isu berasingan melibatkan sistem pemarkahan peperiksaan sekolah menengah, mencetuskan kemarahan orang ramai dan protes golongan belia yang menuntut peletakan jawatan menteri pendidikan.
Kementerian Elektronik India mengeluarkan arahan menyekat akses kepada Telegram sehingga 22 Jun, iaitu hari peperiksaan ulangan berlangsung.
Sementara itu, fungsi penyuntingan mesej yang membolehkan pengguna mengubah kandungan hantaran sedia ada akan terus dihadkan sehingga 30 Jun.
Agensi Pengujian Kebangsaan India (NTA) dalam satu kenyataan memaklumkan, kedua-dua langkah itu diambil demi kepentingan ketenteraman awam susulan penggunaan platform tersebut secara terancang oleh sindiket penipuan untuk memperdaya calon peperiksaan.
Peperiksaan National Eligibility Entrance Test (NEET) merupakan antara peperiksaan paling kompetitif di India dengan lebih dua juta calon yang bercita-cita menjadi doktor mengambil bahagian setiap tahun.
Peperiksaan NEET pada Mei lalu dibatalkan selepas timbul dakwaan bahawa kertas soalannya telah bocor lebih awal, termasuk laporan bahawa ia diedarkan menerusi saluran Telegram.
Tekanan tinggi untuk berjaya dalam peperiksaan itu turut mewujudkan industri pusat tuisyen yang berkembang pesat dengan puluhan ribu pusat latihan beroperasi di seluruh negara.
Persaingan sengit menyebabkan kejayaan sering memerlukan pengorbanan besar dari segi kewangan dan emosi, sekali gus membuka ruang kepada rangkaian jenayah yang menjual kertas peperiksaan bocor kepada pembida tertinggi.
Biro Penyiasatan Pusat India (CBI) sebelum ini menahan individu yang didakwa sebagai dalang utama kebocoran tersebut, dikenal pasti sebagai seorang pensyarah kimia yang terlibat dalam proses peperiksaan di bawah NTA.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan India turut melancarkan sebuah laman sesawang pada Isnin bagi membolehkan orang ramai melaporkan dakwaan mencurigakan, kandungan tidak sah atau aktiviti penipuan berkaitan peperiksaan NEET.
Helikopter tentera udara India dilaporkan bersiap sedia untuk menghantar kertas peperiksaan ke beberapa lokasi sebagai langkah mengelakkan sebarang kemungkinan kebocoran, menurut agensi berita Press Trust of India yang menyiarkan gambar persiapan di negeri Tamil Nadu.
Walaupun India mencatat pertumbuhan ekonomi yang pesat, jutaan rakyatnya masih bergelut mendapatkan pekerjaan yang stabil dan bergaji lumayan, sekali gus meningkatkan rasa tidak puas hati dalam kalangan belia.
Ramai pelajar menghabiskan masa bertahun-tahun membuat persediaan bagi peperiksaan penting dengan harapan memperoleh kerjaya profesional, namun peluang yang terhad dan persaingan sengit menambahkan tekanan.
Media tempatan turut melaporkan beberapa kes bunuh diri melibatkan remaja susulan kontroversi peperiksaan NEET.
Skandal itu berlaku ketika kerajaan turut berdepan kritikan berhubung sistem pemarkahan dalam talian bagi peperiksaan hampir dua juta pelajar sekolah menengah, apabila ramai mendakwa menerima gred yang salah atau keputusan diberikan kepada calon lain.
Kemarahan terhadap pengendalian peperiksaan itu turut mencetuskan kebangkitan sebuah gerakan satira baharu dikenali sebagai Cockroach Janta Party yang meraih jutaan pengikut di media sosial sejak dilancarkan pada Mei lalu.
Gerakan itu muncul selepas Ketua Hakim Negara India, Surya Kant, dilaporkan menyamakan golongan muda yang mengkritik kerajaan dengan “lipas” dan “parasit” ketika satu prosiding mahkamah, sekali lagi mencetuskan kemarahan awam.
Kant bagaimanapun kemudian menjelaskan kenyataannya telah disalah tafsir.
Nama parti satira tersebut juga merupakan permainan kata yang merujuk kepada parti pemerintah pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi, Bharatiya Janata Party (BJP), dan kini telah mula menganjurkan beberapa siri protes secara terbuka. – Agensi
















