PUTRAJAYA – Satu laporan terperinci yang disediakan pakar konservasi dan biologi gajah dari Oxford, Dr. William Keith Lindsay telah diserahkan kepada Menteri Sumber asli dan Kelestarian Alam, Datuk Arthur Joseph Kurup bagi membantu kerajaan membuat keputusan muktamad berhubung usaha membawa pulang gajah Dara, Amoi dan Kelat (DAK) ke Malaysia.
Aktivis kebajikan haiwan, Datin Shereen Yunos berkata, laporan tersebut disediakan khusus untuk kegunaan kementerian dan dijangka menjadi antara bahan rujukan yang akan dibahaskan di Parlimen pada sesi akan datang.
“Pasukan kami hadir hari ini untuk menyerahkan laporan itu kepada menteri. Kami berharap ia akan membawa kepada keputusan muktamad bagi membolehkan Dara, Amoi dan Kelat dibawa pulang kerana itulah tujuan utama kami,” katanya kepada media selepas menyerahkan laporan berkenaan di sini hari ini.
Menurut beliau, laporan tersebut tidak akan didedahkan kepada umum buat masa ini kerana ia berkemungkinan digunakan bagi tujuan perundangan selain memberi ruang kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) meneliti kandungannya terlebih dahulu.
Katanya, laporan tersebut lebih terperinci berbanding laporan terdahulu kerana merangkumi metodologi kajian, pendekatan yang digunakan serta cadangan penyelesaian berkaitan kebajikan kedua-dua haiwan berkenaan.
Dalam pada itu, wakil Pertubuhan Ehsan Haiwan, Norashikin, mempersoalkan kenyataan sebelum ini yang mendakwa keadaan DAK berada dalam keadaan baik, sambil meminta penjelasan mengenai pihak yang menyediakan laporan tersebut.
“Kami mahu tahu siapa yang mengeluarkan laporan itu dan berdasarkan penilaian siapa. Sebagai pencinta haiwan, kami mahukan penjelasan yang lebih terperinci,” katanya.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan berat badan yang didakwa berlaku terhadap haiwan terbabit, yang menurutnya boleh menimbulkan risiko kesihatan sekiranya berpunca daripada kekurangan pergerakan atau senaman.
Selain itu, pihaknya turut menuntut penjelasan mengenai klausa keluar dalam memorandum persefahaman (MoU) berkaitan pemindahan haiwan tersebut.
“Kami berharap kementerian dapat meneliti laporan yang dihantar hari ini dengan sebaik-baiknya dan mempertimbangkan langkah yang perlu untuk membawa mereka pulang,” tambahnya.
Sementara itu mengulas mengenai cadangan penubuhan pasukan petugas bebas, Shereen berkata, penilaian terhadap keadaan haiwan perlu dilakukan oleh kumpulan profesional yang berkecuali dan mempunyai kepakaran khusus dalam bidang berkaitan.
Beliau berkata, pasukannya telah mengumpulkan kira-kira 155 jam rakaman video yang kemudiannya dianalisis oleh Dr. William Keith Lindsay, seorang pakar konservasi dan pemulihan hidupan liar yang mempunyai lebih 50 tahun pengalaman dalam bidang berkenaan.
“Beliau telah meneliti keseluruhan rakaman tersebut dan menghasilkan laporan yang sangat komprehensif. Jumlah data yang diperoleh daripada rakaman itu jauh lebih banyak berbanding pemerhatian singkat di lokasi,” katanya.
Menurut Shereen lagi, Dr. William sebelum ini turut terlibat dalam usaha menyelamatkan seekor gajah bernama Rani Hiroko, namun haiwan itu gagal diselamatkan selepas mengalami pelbagai komplikasi kesihatan.
Sehubungan itu, beliau berharap perkara sama tidak berlaku kepada DAK serta menyeru rakyat Malaysia terus memberi sokongan kepada usaha membawa pulang kedua-dua haiwan berkenaan.
“Kami sedang bekerja keras dan berharap semua pihak dapat bekerjasama bagi memastikan khazanah negara ini dapat kembali ke habitat yang lebih sesuai,” katanya. – MalaysiaGazette
















