KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi berpendirian, Datuk Seri Najib Razak merupakan dalang di sebalik penyelewengan RM2.3 billion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dilakukan menerusi tipu daya dengan proksinya, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menyatakan, bekas Perdana Menteri berganding bahu dengan Jho Low secara berhati-hati dan teliti dengan membentuk jaringan penipuan yang kompleks melalui transaksi yang mengakibatkan perpindahan dana 1MDB.
Menurut beliau, perpindahan dana itu dilakukan menerusi pelbagai lapisan sebelum akhirnya menemukan laluan yang berakhir ke dalam akaun bank peribadi tertuduh.
“Mahkamah ini juga berhak mempertimbangkan bahawa tertuduh tidak mempamerkan sebarang penyesalan atas kesalahan yang dilakukan.
“Sebaliknya tertuduh memilih untuk menyalahkan pihak lain termasuk pengurusan 1MDB. Kurangnya penyesalan ini adalah faktor yang sangat relevan untuk dipertimbangkan dalam menjatuhkan hukuman,” ujarnya.
Alasan penghakiman penuh bertarikh hari ini setebal 809 muka surat diperoleh pihak media menerusi laman sesawang kehakiman. Penghakiman penuh tersebut penting bagi membolehkan beliau menyediakan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Beliau yang merupakan hakim bicara dalam kes berkenaan menyatakan demikian ketika mensabitkan Najib terhadap semua 21 pertuduhan salah guna kedudukan dan empat pertuduhan pengubahan wang haram dana 1MDB, Disember tahun lalu.
Collin yang kini hakim Mahkamah Persekutuan turut menyatakan, Najib bertindak menutup dan melindungi kesalahan berkaitan penyelewengan dana 1MDB termasuk membubarkan pasukan petugas khas yang menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan.
Beliau berpendapat, Najib cuba memujuk Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) ketika itu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz agar mengeluarkan kenyataan bagi membersihkan beliau daripada salah laku.
Berkaitan hukuman pula, mahkamah mengambil kira magnitud jenayah daripada segi jumlah besar yang terlibat dan kesan daripada skandal yang dilakukan termasuk obligasi kewangan negara yang berterusan untuk generasi kini dan akan datang.
Beliau turut berpendapat, hukuman berbentuk pencegahan perlu dikenakan terhadap Najib mengatasi hukuman yang dikenakan ke atas pegawai perkhidmatan awam dan sumbangannya terhadap negara.
Pada 26 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini
menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap Najib bagi empat pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB.
Hakim Collin turut mengenakan denda berjumlah RM11.38 bilion bagi kesemua empat pertuduhan tersebut.
Jika gagal membayar denda, mahkamah memerintahkan bekas Perdana Menteri menjalani hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.
Beliau turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun masing-masing tanpa denda bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah dana yang sama.
Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara 15 tahun berkuatkuasa serentak selepas bekas Perdana Menteri menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International. – MalaysiaGazette















